Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dua lelaki dipenjara dua bulan cuba ceroboh Istana Negara di KL

May 21, 2024 | 12:21 PM
Pemeriksaan ke atas kereta tertuduh menemukan sebilah parang di dalam bonet. Siasatan mendapati kedua-dua tertuduh tiada sebarang urusan sah untuk memasuki Istana Negara.
Pemeriksaan ke atas kereta tertuduh menemukan sebilah parang di dalam bonet. Siasatan mendapati kedua-dua tertuduh tiada sebarang urusan sah untuk memasuki Istana Negara. - Foto POLIS KUALA LUMPUR

KUALA LUMPUR: Dua lelaki dijatuhi hukuman penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada 20 Mei kerana cuba menceroboh masuk Istana Negara pada 17 Mei.

Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim, menjatuhkan hukuman itu ke atas Salleh Udoh, 37 tahun, dan Abdul Malek Az Zukhruf Fiee, 29 tahun, selepas mereka mengaku bersalah melakukan kesalahan tersebut pada 4.40 petang, 17 Mei.

Di bawah undang-undang, tertuduh boleh dikenakan hukuman maksimum penjara enam bulan atau denda RM3,000 ($862) atau kedua-duanya.

Mahkamah memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman penjara dari tarikh tangkap pada 17 Mei.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, anggota polis yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di pintu 3 Istana Negara di Kuala Lumpur didatangi sebuah kereta yang dinaiki kedua-dua tertuduh, yang cuba memasuki istana.

Apabila ditanya tujuan masuk ke istana, mereka berkata ingin berjumpa Yang di-Pertuan Agong atas “urusan akhirat”.

Pemeriksaan ke atas kereta tertuduh kemudian menemukan sebilah parang dalam bonet kenderaan itu.

Kedua-dua tertuduh ditangkap dan siasatan mendapati mereka tiada sebarang urusan sah untuk memasuki Istana Negara.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) R. Harvind memohon hukuman setimpal dan berbentuk pengajaran ke atas kedua-dua tertuduh dengan mengambil kira kes pencerobohan yang berlaku.

Kedua-dua tertuduh, yang tidak diwakili peguam, memohon hukuman ringan atas alasan mereka mempunyai tanggungan keluarga serta tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

Sementara itu, Salleh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas satu pertuduhan memiliki senjata, iaitu parang panjang berkenaan, tanpa kebenaran sah di lokasi dan pada tarikh serta masa yang sama.

Hakim Norina Zainol Abidin membenarkan Salleh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin dan perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali sehingga kes selesai serta menetapkan 25 Jun ini untuk sebutan kes.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg