Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Balai polis Ulu Tiram Johor diserang anggota JI: Dua konstabel terbunuh

Penyerang, 21 tahun, ditembak mati di tempat kejadian; tujuh individu lain turut ditahan
May 17, 2024 | 6:36 PM
Balai Polis Ulu Tiram
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain (kiri), meninjau lokasi kejadian serangan di Balai Polis Ulu Tiram pada 17 Mei. Dalam kejadian 2.45 pagi itu, dua anggota polis maut dengan penyerang pula ditembak mati. Seorang lagi anggota polis cedera parah. - Foto BERNAMA

Balai Polis Ulu Tiram di Johor diserang seorang lelaki pada awal pagi 17 Mei, menyebabkan dua anggota polis terbunuh, manakala seorang lagi anggota cedera.

Penyerang iaitu seorang lelaki berusia 21 tahun yang disahkan menjadi anggota kumpulan militan Jemaah Islamiyah (JI), ditembak mati di tempat kejadian dengan motif serangan dipercayai cubaan merampas senjata api.

Ketua Polis Malaysia, Tan Sri Razarudin Husain, yang mengesahkan perkara itu berkata suspek menceroboh balai polis berkenaan kira-kira 2.30 pagi, lengkap bertopeng dan memakai perlindungan diri serta bersenjatakan parang, sebelum menyerang dan menetak seorang anggota di leher sehingga maut dan merampas senjata api.

Beliau berkata dua lagi anggota yang menyedari kejadian di kawasan tempat letak kereta di belakang balai itu kemudian membuat pemeriksaan sebelum seorang daripada mereka ditembak di pipi dan menembusi kepala, manakala seorang lagi berjaya menembak mati suspek, namun turut cedera ditembak di bahu dalam kejadian berbalas tembakan.

Dua anggota yang terkorban ketika bertugas adalah Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said.

Tan Sri Razarudin tiba di lokasi kejadian kira-kira 10.45 pagi pada 17 Mei sebelum dibawa Ketua Polis Johor, Pesuruhjaya M Kumar, bagi meninjau kawasan serangan selain diberi taklimat mengenai kejadian itu.

Beliau berkata susulan serangan ganas itu, polis menahan tujuh individu termasuk lima anggota keluarga suspek berusia antara 19 hingga 62 tahun yang disahkan anggota JI, selain dua penuntut institusi pengajian tinggi di Johor yang dipercayai terlibat dengan kejadian berdarah itu.

“Siasatan kami mendapati bapa suspek berusia 62 tahun adalah anggota JI. Serbuan ke rumah suspek menemui pelbagai maklumat berkait militan JI. Kami percaya lelaki dan wanita penuntut universiti yang ditahan juga ada kaitan dengan serangan ini,” katanya.

Beliau turut mengarahkan Unit Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengesan dan memburu anggota JI di Johor – yang dianggarkan 20 orang – untuk membantu siasatan.

Tan Sri Razarudin juga mengarahkan kawalan keselamatan di balai polis dan kawasan yang membabitkan individu berprofil tinggi termasuk istana dan menteri besar, selain anggota polis sebagai langkah berjaga-jaga terhadap sebarang tindakan susulan JI itu.

Kejadian itu turut mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, yang menzahirkan rasa sedih dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serangan itu.

“Al-Fatihah buat dua wira negara yang terkorban dalam tragedi ini. Semoga mereka ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan para syuhada,” katanya menerusi kenyataan di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, juga mahu tindakan tegas diambil terhadap pihak yang cuba melakukan kekacauan di Malaysia sehingga meragut nyawa anggota keselamatan.

“Insiden ini ternyata memilukan dan menggemparkan negara dan saya utus takziah buat keluarga. Justeru, berdasarkan makluman awal mengenai serangan ini, saya gesa pihak PDRM untuk segera mencari dalangnya untuk dihadapkan ke muka pengadilan,” tulisnya di laman Facebook.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg