SEREMBAN: Dua pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Rembau, Negeri Sembilan, maut apabila motosikal ditunggang mereka dipercayai terbabas sendiri lalu melanggar besi penghadang di Kilometer Satu, Jalan Chengkau-Panchang-Lubok Cina pada 4 Januari.
Ketua Polis Daerah Rembau, Superintendan Hasani Hussain, berkata dalam kemalangan kira-kira 4 petang itu, Allahyarhamha Ismawanie Husna Ismail dan Allahyarhamha Nur Ain Zulaisya Zahrain, kedua-duanya berusia 19 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan pada bahagian kepala, lapor Bernama.
“Hasil siasatan awal mendapati insiden berlaku ketika kedua-dua pelajar Diploma Pengurusan Maklumat serta Diploma Komunikasi dan Media itu sedang dalam perjalanan dari arah UiTM Rembau menghala ke Pekan Lubok Cina.
“Keadaan cuaca dilaporkan baik ketika itu.
“Setiba di jalan selekoh, motosikal Yamaha NVX yang ditunggang Cik Ismawanie, dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan dan melanggar besi penghadang,” katanya dalam satu kenyataan pada malam 4 Januari.
Beliau berkata mayat kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke Hospital Rembau untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg