Seorang penunggang motosikal berusia 42 tahun maut dalam kemalangan yang melibatkan sebuah motosikal dan sebuah kereta pada awal 6 Januari.
Polis dimaklumkan mengenai insiden di Ekspreswe Seletar (SLE) menghala ke Ekspreswe Central (CTE) itu pada sekitar 6 pagi, lapor The Straits Times (ST).
Penunggang motosikal itu dikejarkan ke Hospital Besar Sengkang dalam keadaan tidak sedarkan diri, namun disahkan meninggal dunia, kata polis.
Pemandu kereta itu, seorang lelaki berusia 48 tahun, kini membantu siasatan, tambah polis.
Siasatan lanjut masih dijalankan.
Sebuah rakaman video di Facebook memaparkan beberapa individu berlutut mengelilingi seorang mangsa berhampiran sebuah kereta kelabu dan motosikal yang terbalik.
Seorang daripada mereka dilihat melakukan resusitasi kardiopulmonari (CPR) di tengah-tengah aliran trafik yang masih bergerak. Kesan darah juga jelas kelihatan di atas jalan berhampiran mereka.
Dalam gambar lain, pegawai Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) yang berjaket neon dilihat memberikan bantuan kepada mangsa yang terbaring di atas jalan.
ST telah menghubungi SCDF untuk mendapatkan butiran lanjut.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg