KUALA LUMPUR: Dua pemimpin Parti Islam SeMalaysia (PAS) – Bendahari PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad, dan Ketua Pemuda PAS Selangor, Encik Mohamed Sukri Omar, menafikan tuduhan pemerintah Singapura yang mendakwa mereka cuba mempengaruhi pengundi republik itu menjelang Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) yang dijadualkan pada 3 Mei.
Datuk Iskandar menyatakan bahawa beliau terkejut dengan dakwaan kononnya cuba campur tangan dalam GE2025.
Menurut beliau, hantaran yang dimuat naik di media sosial hanya bertujuan untuk melaporkan penyertaan beberapa calon Islam daripada parti pembangkang serta seorang calon muda daripada Parti Tindakan Rakyat (PAP).
Sementara itu, Encik Mohamed Sukri memberitahu Malaysiakini bahawa beliau menghormati kedaulatan dan undang-undang Singapura, dan menegaskan bahawa beliau tidak pernah cuba mencampuri proses demokrasi republik itu.
Mereka mengeluarkan kenyataan tersebut pada 26 April sebagai respons terhadap dakwaan yang dikemukakan oleh Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) yang sebelum ini mengarahkan Meta untuk menyekat akses pengguna kepada beberapa contoh Iklan Pilihan Raya Dalam Talian (OEA) yang dimuat naik oleh warga asing, termasuk dua pemimpin PAS tersebut.
Media di Singapura melaporkan bahawa Datuk Iskandar dan Encik Mohamed Sukri telah dikenal pasti sebagai antara tiga individu asing yang cuba mempengaruhi GE2025 menerusi media sosial. Tuduhan itu timbul selepas pihak berkuasa Singapura mengarahkan sekatan terhadap hantaran yang didakwa berpotensi mempengaruhi keputusan pilihan raya.
Selain mereka, seorang lagi individu yang dinamakan ialah Zulfikar Mohamad Shariff, bekas warganegara Singapura yang kini menetap di Australia.
Dalam reaksinya, Encik Mohamed Sukri mempertahankan tindakannya dengan mengatakan bahawa beliau sekadar menyuarakan keprihatinan terhadap isu umat Melayu/Islam di Singapura.
“Saya tidak pernah berniat untuk campur tangan dalam proses demokrasi negara itu, sama ada secara langsung atau tidak langsung. Kebimbangan dan mesej saya bukan bertujuan untuk campur tangan dalam pilihan raya, tetapi lahir daripada tanggungjawab moral saya sebagai insan prihatin terhadap situasi umat Melayu-Muslim di Singapura, yang semakin terdesak dalam aspek pendidikan, ekonomi dan kebebasan budaya.”
Menurut beliau lagi: “Hak untuk mempertahankan keadilan, martabat dan masa depan sesuatu kaum bukanlah satu bentuk ‘campur tangan asing’ apabila ia dilakukan dengan adab, prinsip dan kasih sayang terhadap kemanusiaan, tanpa paksaan atau hasutan terhadap mana-mana parti politik asing.”
Datuk Iskandar pula dalam kenyataan berasingan seperti yang dilaporkan MalaysiaGazzette menjelaskan: “Saya hanya melaporkan tentang beberapa calon Islam yang menyertai pilihan raya, termasuk seorang calon muda daripada PAP yang memperkenalkan dirinya kepada para pengundi,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa beliau tidak pernah menghasut rakyat Singapura untuk mengundi berdasarkan kaum atau agama. “Saya hanya menyuarakan harapan agar ada calon Islam yang berjaya dalam pilihan raya tersebut,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata bahawa sebagai ahli politik, adalah perkara biasa untuk mengikuti dan mengulas perkembangan politik luar negara. “Saya pernah menulis panjang lebar mengenai politik di United Kingdom dan berharap kemenangan berpihak kepada Parti Buruh. Tapi tidak masuk akal untuk menuduh saya campur tangan dalam pilihan raya negara itu,” ujarnya.
Datuk Iskandar turut menyatakan rasa terkejut apabila laman Facebook beliau disekat di Singapura.
“Saya tidak rasa laman Facebook saya itu berpengaruh, bahkan di Malaysia pun tidak. Jadi saya amat terkejut apabila ia disekat dan tidak boleh diakses di republik itu,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg