Adalah “sangat bahaya” apabila agama digunakan untuk mempengaruhi bagaimana rakyat Singapura perlu mengundi.
Mentelah lagi, adalah membimbangkan bahawa pihak asing mengeksploitasi hubungan kaum untuk meraih keuntungan politik semasa tempoh pilihan raya ini.
Demikian ditegaskan Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad, yang juga calon pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) bagi GRC Marsiling-Yew Tee, semasa bertemu media di Pasar Fuchun pada 26 April.
Bersamanya adalah calon pasukan PAP lain bagi GRC itu, Encik Alex Yam dan Cik Hany Soh.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, juga calon pasukan PAP bagi GRC itu tidak hadir pada sesi tersebut.
“Jadi, apabila anda mempunyai parti seperti Parti Islam SeMalaysia (PAS), contohnya, menyokong pandangan tertentu, meminta rakyat Singapura mengundi mengikut agama dan kaum, saya rasa itu sangat berbahaya.
“Itulah jenis politik yang anda boleh lihat di Malaysia, yang mana anda mempunyai parti yang berbeza yang mewakili agama atau kaum yang berbeza, tidak kira Umno, PAS, DAP dan MIC, dan anda boleh lihat bagaimana parti-parti tersebut berfungsi,” kongsi beliau.
Encik Zaqy bercakap kepada wartawan mengenai tindakan pemerintah mengeluarkan Arahan Pembetulan kepada syarikat Meta untuk melumpuhkan akses pengguna Singapura kepada beberapa Iklan Pilihan Raya Dalam Talian (OEA), yang diterbitkan di Facebook oleh warga asing yang cuba campur tangan dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) ini.
Merujuk kepada catatan Facebook oleh ahli PAS dan kiriman Facebook bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Encik Zulfikar Mohamad Shariff, Encik Zaqy berkongsi bahawa pengaruh sedemikian tidak mempunyai tempat dalam landskap politik Singapura.
“Kita telah luangkan 60 tahun lalu untuk membangunkan keamanan, perpaduan, keharmonian dan kepercayaan antara satu sama lain.
“Anda tidak mahu keadaan di mana usaha ini dieksploitasi, kerana kita telah menyaksikan bahaya akibatnya pada zaman awal kemerdekaan kita,” ujarnya.
Meskipun terdapat ruang bagi perbahasan dan perbincangan mengenai pelbagai isu, termasuk hal keagamaan seperti isu tudung, Encik Zaqy menekankan pentingnya untuk menjalankan perbincangan tersebut dengan cara yang menghormati masyarakat berbilang kaum dan agama di Singapura.
“Tetapi, apabila anda mempunyai warga asing yang campur tangan, ia bukan sekadar hantaran (di media sosial).
“Anda meminta rakyat Singapura untuk mengundi dengan cara tertentu kerana kepercayaan mereka di luar negara atau cara hidup di luar negara. Saya rasa ia tidak sesuai dengan kita,” kongsi beliau.
Selain itu, seorang guru agama rakyat Singapura, Encik Noor Deros, mendakwa telah berbual dengan calon Parti Pekerja (WP) yang bertanding dalam GE2025.
Beliau, yang kini menetap di Malaysia, menggesa parti itu untuk mengutamakan hak dan keprihatinan masyarakat Melayu/Islam.
Mengambil kira pelbagai pandangan dalam masyarakat, Encik Zaqy akur bahawa terdapat segmen tertentu dalam masyarakat yang lebih mengidentifikasikan diri mereka dengan kaum dan agama.
Namun, beliau menekankan peri pentingnya untuk memastikan keseimbangan dalam menangani isu-isu tersebut, sambil menegaskan bahawa campur tangan asing tidak akan diterima dalam politik Singapura.
“Oleh itu, ada keseimbangan yang perlu kita uruskan. Saya ingin katakan dengan jelas bahawa campur tangan asing bukan sesuatu yang akan kita terima dan politik Singapura adalah untuk rakyat Singapura sahaja,” tegas Encik Zaqy.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg