Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dua penjenayah bersenjata api ditembak mati di N. Sembilan

May 16, 2025 | 10:04 AM
tembak, negeri sembilan, samun, pengedar dadah
Anggota polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian tembakan yang mengorbankan dua lelaki penjenayah, di kawasan tempat letak kereta sebuah kondominium di Nilai, Negeri Sembilan. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Dua lelaki yang aktif melakukan jenayah samun, kekerasan dan pengedaran dadah ditembak mati dalam Op Api 3, di tempat letak kereta sebuah kondominium di Nilai, Negeri Sembilan, malam 15 Mei.

Kedua-dua suspek berusia 29 tahun dan 40 tahun dikesan di kondominium berkenaan oleh sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan JSJ Kontinjen pada 10 malam, hasil maklumat dan risikan sebelum polis berusaha memberkas mereka.

Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus berkata selepas menyedari kehadiran polis, suspek telah melepaskan tembakan sehingga memaksa polis melepaskan tembakan balas demi mempertahankan diri.

Siasatan mendapati kedua-dua suspek dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan mati di tempat kejadian.

“Pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek yang memiliki dua pucuk pistol jenis semi auto dan sepucuk revolver yang digunakan mereka dalam kejadian berbalas tembak itu.

“Suspek ialah ahli kumpulan penjenayah bersenjata yang aktif melakukan samun pecah rumah, kilang dan pusat pengumpulan bungkusan J&T; serta pengedaran dadah di Selangor, Negeri Sembilan dan Perak.

“Suspek berusia 29 tahun ini memiliki 11 rekod jenayah lampau manakala suspek berusia 40 tahun memiliki 76 rekod jenayah termasuk yang dikehendaki polis,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Datuk Fadil berkata akibat daripada kejadian berbalas tembak itu, kenderaan dinaiki polis rosak akibat terkena tembakan namun tiada anggota yang cedera.

“Kita tidak menolak kemungkinan dua suspek ini ahli kumpulan kongsi gelap berdasarkan penggunaan senjata api.

“Selain itu, kita juga percaya lokasi kondominium ini dipercayai lokasi persinggahan suspek selain turut mengenal pasti beberapa lokasi lain yang dijadikan tempat persembunyian mereka,” ujarnya.

JSJ akan meneruskan operasi dengan memburu suspek lain dan membuat beberapa serbuan serta rampasan hasil jenayah samun membabitkan kumpulan itu susulan kejadian berbalas tembak ini.

Bagaimanapun pihak polis tidak dapat mengulas lebih lanjut bagi membolehkan usaha mengesan saki-baki rakan jenayah suspek yang ditembak mati ini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg