SHAH ALAM: Polis merakam keterangan pengawal keselamatan dipercayai melepaskan tembakan ke arah seorang lelaki bersenjatakan parang di sebuah restoran berhampiran Hospital Banting, Selangor, pada 19 April.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi, berkata siasatan awal mendapati ketika kejadian, pengawal berkenaan sedang bertugas di Hospital Banting yang terletak tidak jauh dari lokasi kejadian.
“Setakat ini polis tidak menahan pengawal keselamatan terbabit dan hanya merakam keterangan berhubung kejadian berkenaan.
“Lelaki warga tempatan yang ditembak dalam kejadian pada petang 19 April itu pula mengalami patah tulang kaki kanan dipercayai akibat terkena tembakan,” katanya dalam satu kenyataan pada 20 April, lapor Berita Harian Malaysia.
Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan serta Seksyen 37 dan Seksyen 39 Akta Senjata 1960.
Tular di laman sosial video pada 19 April yang memaparkan seorang lelaki dalam keadaan mengamuk mengacukan parang ke arah beberapa petugas kesihatan sebelum pengawal keselamatan yang berada di lokasi kejadian melepaskan tembakan menggunakan senapang patah.
Lelaki itu disyaki bertindak agresif terhadap orang ramai dengan menggunakan senjata tajam, cedera selepas kakinya ditembak oleh seorang pengawal keselamatan.
Berdasarkan rakaman video selama 57 saat yang tular dalam laman sosial, beberapa individu dilihat menggunakan kerusi bagi mempertahankan diri daripada diserang lelaki itu.
Bagaimanapun, lelaki itu akhirnya tersungkur apabila seorang pengawal keselamatan melepaskan satu das tembakan ke arah kakinya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg