Topik diikuti
Pergi ke BHkuDua pilihan laluan lebuh raya diteliti bagi kerja tebatan banjir Sungai Kesang di Johor
Dua pilihan laluan lebuh raya diteliti bagi kerja tebatan banjir Sungai Kesang di Johor
Dua pilihan laluan lebuh raya diteliti bagi kerja tebatan banjir Sungai Kesang di Johor
JOHOR BAHRU: Dua pilihan pengalihan trafik di Lebuhraya Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) sedang diteliti bagi membolehkan kerja mendalamkan dan melebarkan Sungai Kesang di bawah jambatan laluan itu diteruskan dengan selamat.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata penilaian itu mengambil kira keselamatan pengguna, kesan terhadap aliran trafik serta tempoh pembinaan Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Lembangan Sungai Kesang.
Menurutnya, pilihan pertama ialah mengalihkan trafik kedua-dua arah ke jambatan sementara yang mempunyai dua lorong, masing-masing satu bagi setiap arah.
Jambatan sementara atau Medium Traffic Bridge (MTB) itu membolehkan pengguna terus melintasi kawasan berkenaan sepanjang kerja di bawah jambatan AMJ dilaksanakan.
“Namun, kesesakan dijangka meningkat apabila trafik melibatkan kira-kira 27,000 pengguna dialihkan daripada empat lorong kepada dua lorong,” katanya dalam kenyataan pada 4 November.
Pilihan kedua pula melibatkan penutupan laluan AMJ bagi satu arah, dengan dua lorong di bahagian yang kekal dibuka digunakan untuk menampung trafik kedua-dua arah.
Encik Fazli berkata kaedah itu dipertimbangkan bagi mengurangkan kesesakan, tetapi dijangka memerlukan tempoh pembinaan lebih panjang.
Ini kerana kerja pengorekan dan pelebaran sungai perlu dilaksanakan secara berperingkat bagi mengurangkan kesan terhadap struktur jambatan yang masih digunakan.
“Saya akan terus memantau penyelarasan bersama Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan agensi berkaitan supaya keputusan mengambil kira keselamatan pengguna, kesan kepada trafik dan tempoh pembinaan.
“Pengguna AMJ akan dimaklumkan lebih awal apabila kaedah pelaksanaan dimuktamadkan,” katanya.
Beliau sebelum itu meninjau tapak projek bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Serom, Cik Nadhirah Afiqah, serta wakil JKR dan JPS Johor.
Mengulas kemajuan projek itu, Encik Fazli berkata RTB Lembangan Sungai Kesang yang bernilai kira-kira RM126 juta ($39 juta) telah mencapai kemajuan fizikal 43.94 peratus, mendahului jadual semasa 43.50 peratus.
Urusan reka bentuk dan pengambilan tanah bagi projek berkenaan juga telah selesai.
Menurutnya, projek itu dijangka membantu mengurangkan risiko banjir kepada sekitar 5,000 penduduk di kawasan terlibat di Tangkak dan Melaka.