Topik diikuti
Pergi ke BHkuJohor contohi S’pura bina takungan air bawah tanah
Johor contohi S’pura bina takungan air bawah tanah
Kemudahan takungan air sementara di bawah tanah, atau on-site detention (OSD), dilaksanakan di Iskandar Puteri dengan kos RM400,000 ($125,866) dengan menggunakan konsep yang dicontohi daripada Singapura bagi membantu mengurangkan risiko banjir.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata kemudahan itu dibina di bawah taman permainan, membolehkan ruang di permukaan terus digunakan oleh penduduk.
Menurutnya, struktur pembentung berbentuk kotak di bawah tanah itu menampung air hujan buat sementara waktu sebelum air dilepaskan apabila keadaan di kawasan sekitar mulai surut.
“Simpan air sekejap. Lepas itu sini dah surut, air itu pun keluar,” katanya ketika dihubungi Berita Harian (BH).
Beliau menjelaskan bahawa pendekatan tersebut menggunakan konsep seperti di Singapura, dengan taman permainan disediakan di atas kemudahan takungan berkenaan.
“Jadi yang kedua kita akan buat kat Kampung Mohd Amin,” katanya, merujuk kepada rancangan menyediakan kemudahan serupa di Johor Bahru.
Datuk Jafni berkata pembinaan takungan di bawah ruang awam itu merupakan antara pendekatan bagi mengatasi kekangan tanah di kawasan bandar.
Beliau menekankan bahawa usaha mengurangkan risiko banjir memerlukan pelaburan jangka panjang serta penambahbaikan berterusan, memandangkan peningkatan hujan boleh memberi tekanan tambahan kepada sistem saliran sedia ada.
Selain kemudahan takungan, langkah lain perlu merangkumi pendalaman sungai, penambahan kawasan hijau serta penyediaan saliran yang mampu menampung aliran air.
Pemaju juga perlu memastikan kolam takungan disediakan serta penanaman rumput dan pokok dilaksanakan segera.
Mengulas masalah banjir di kawasan Batu 24 menuju Kelapa Sawit, Kulai, beliau berkata kerajaan negeri telah meminta pemaju berhampiran bekerjasama menaik taraf sistem perparitan.
Kerja tersebut merangkumi pembesaran parit tanah kepada parit monsun, serta penambahan pembentung di bawah jalan bagi melancarkan aliran air.
Menurutnya, pembesaran saliran di bahagian hilir membolehkan air keluar dengan lebih cepat, sekali gus membantu mengurangkan risiko banjir di kilang berdekatan.
Bagaimanapun, kedudukan beberapa kilang lama di kawasan rendah menjadi cabaran yang perlu diambil kira dalam usaha penambahbaikan tersebut.
Datuk Jafni berkata keadaan di kawasan berkenaan terkawal sepanjang pemantauannya dalam satu hingga dua minggu kebelakangan selepas tindakan diambil, namun pemantauan akan diteruskan.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata kerajaan Johor akan meneliti aspek teknikal keselamatan sistem pihak berkuasa tempatan (PBT) susulan dakwaan penggodaman sistem Majlis Perbandaran Kluang.
Laporan polis telah dibuat, manakala bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) diminta bagi meneliti kejadian itu.
“Sebab itu bila benda itu berlaku, apa yang kita buat ialah kita terus buat laporan polis,” katanya.
Menurutnya, perunding yang membangunkan sistem PBT tertakluk kepada perjanjian dan syarat teknikal yang perlu dipatuhi.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama pihak berkuasa persekutuan dalam memperkukuh keselamatan sistem berkenaan.