Topik diikuti
Pergi ke BHkuDua rakan pecah masuk stor surau di Melaka, diberkas polis
Dua rakan pecah masuk stor surau di Melaka, diberkas polis
Salah seorang turut libat dalam kes curi makanan laut
Dua rakan pecah masuk stor surau di Melaka, diberkas polis
JASIN (Melaka): Dua rakan yang memecah masuk stor sebuah surau di Taman Merlimau Utara diberkas polis, sekali gus membongkar penglibatan salah seorang daripada mereka dalam kes curi makanan laut di Pantai Siring, Melaka pada 10 April.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Lee Robert berkata kejadian pada 8 April itu disedari seorang lelaki warga emas yang mendapati tombol pintu stor Surau At-Taqwa di taman perumahan itu rosak, kira-kira 6 pagi, sebelum membuat laporan polis, lapor Berita Harian Malaysia.
Menurutnya, pengadu berusia 60 tahun dan bekerja sebagai peniaga itu, kemudian membuat pemeriksaan lanjut di stor berkenaan, sebelum mendapati beberapa barangan berharga telah hilang, dipercayai dicuri.
Katanya, antara barangan dilaporkan hilang termasuk sebuah televisyen jenama Sharp berukuran 45 inci, mikrofon tanpa wayar, sebuah motosikal jenis SM Sport 110R, berserta anak kunci.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin berjaya menahan dua lelaki tempatan di sebuah rumah di Pulai Baroh Merlimau, kira-kira 4 petang, 10 April.
“Hasil soal siasatan awal, kedua-dua suspek masing-masing berusia 33 dan 30 tahun, mengaku terbabit dalam kejadian pecah masuk stor surau berkenaan,” katanya.
Beliau berkata berdasarkan pemeriksaan di dalam rumah tidak bernombor itu, polis menemui semula barangan dipercayai hasil curi di surau berkenaan termasuk sebuah motosikal.
Menurutnya, siasatan lanjut turut mendapati seorang daripada suspek berusia 33 tahun yang beralamat di Muar, Johor, mengaku terbabit dalam kes kecurian makanan laut di sebuah kedai makan di Bakau-Bakau Siring, Jalan Anjung Batu, Pantai Siring, pada 10 April.
“Semakan rekod lampau mendapati kedua-dua suspek mempunyai beberapa rekod jenayah dan narkotik.
“Manakala ujian saringan air kencing terhadap seorang daripada mereka didapati positif methamphetamine,” katanya lagi.
Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah masuk bangunan dengan niat melakukan jenayah.
Terdahulu, media melaporkan seorang pencuri memecah masuk sebuah restoran makanan laut di Pantai Siring, Melaka, dan melarikan bahan mentah masakan seperti belangkas segar, siput belitung dan mentarang bernilai kira-kira RM2,000 ($642.76).
Pemilik kedai Bakau-Bakau Siring yang hanya mahu dikenali sebagai Siti berkata sepanjang berniaga makanan laut di kawasan itu, ini adalah kali pertama premisnya dipecah masuk, malah wang tunai turut dicuri.
“Antara hasil laut yang dicuri termasuk dua kilogram mentarang, lima ekor belangkas dan satu kilogram siput belitung yang disimpan untuk jualan harian,” katanya ketika dihubungi.
