Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

13 rakyat Malaysia ditahan dalam sebulan kerana tipu mangsa di S’pura

Sep 22, 2025 | 5:16 PM
Malaysia, S’pura, tipu
Lee Jian Cheng, warga Malaysia berusia 31 tahun, dituduh mempunyai kaitan dengan beberapa kes penipuan melibatkan penyamaran sebagai pegawai pemerintah. - Foto: ST

Sekurang-kurangnya 13 rakyat Malaysia ditahan dalam tempoh sebulan kerana disyaki terlibat dalam penipuan mangsa di Singapura.

Menurut akhbar The Straits Times (ST), kebanyakan kes tersebut melibatkan penipuan mereka yang menyamar sebagai pegawai pemerintah, yang menyaksikan kerugian $126.5 juta dalam enam bulan pertama 2025.

Dalam satu kes terbaru yang melibatkan warga Malaysia, Lee Jian Cheng, 31 tahun, dituduh mempunyai kaitan dengan beberapa kes penipuan penyamaran pegawai pemerintah.

Dia disyaki membantu sindiket penipuan untuk mengutip wang tunai dan barang kemas daripada mangsa dan keldai wang, melibatkan lebih $441,000 dalam hasil haram.

Lee dikatakan pergi ke kawasan lapang di luar VivoCity untuk mengutip wang tunai daripada keldai wang. Dia kemudian didakwa menyerahkannya kepada anggota sindiket lain.

Dia ditahan pada 16 September dan didakwa di mahkamah dua hari kemudian atas pertuduhan terlibat dalam konspirasi untuk membantu individu yang tidak dikenali menyimpan hasil kegiatan daripada perbuatan jenayah mereka.

Lee telah dibawa semula ke tempat kejadian yang didakwa pada pagi 22 September. Sekitar 10.20 pagi, dia keluar dari kereta polis yang tidak bertanda dan diiringi empat anggota polis ketika dia berjalan ke ruang duduk di luar pusat beli-belah tersebut.

Berbaju merah, seluar pendek hitam dan berselipar, dia berjalan dengan kepala menunduk dan digari di pergelangan tangan dan di buku lalinya.

Selepas kira-kira lima minit, Lee diiringi kembali ke kereta polis.

Pada 30 Ogos, polis menahan seorang lelaki warga Malaysia berusia 44 tahun atas dakwaan cuba mengubah cek berjumlah $180,000 menjadi wang tunai dalam satu penipuan seumpama itu.

Pada 27 Ogos, seorang lagi lelaki warga Malaysia, 20 tahun, ditahan kerana didakwa memudahkan pembayaran cek tunai sebanyak $200,000 yang melibatkan mangsa warga emas menerusi cara penipuan yang sama.

Pada 15 Ogos pula, tiga lelaki warga Malaysia berusia antara 28 dengan 30 tahun ditahan kerana didakwa bertindak sebagai keldai wang untuk mengutip wang tunai daripada mangsa kes kaedah serupa.

Pada separuh pertama 2025, lebih $456 juta lesap akibat penipuan, dengan hampir 20,000 kes dilaporkan di Singapura.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg