KUALA LUMPUR: Seorang lelaki rentung apabila lori yang dinaikinya terbakar dalam satu kemalangan di Bentong, Pahang, manakala seorang remaja perempuan rentung selepas rumah dua tingkatnya di Ranau, Sabah, terbakar.
Dalam kejadian di Bentong berhampiran Bulatan Mempaga laluan Lingkaran Tengah Utama (LTU) pada kira-kira 4.30 pagi 13 Mei itu, mangsa, Allahyarham Mohd Ghazi Abdul Razab, 53 tahun, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala lelaki yang memandu lori berkenaan mengalami kecederaan.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang, Encik Ismail Abdul Ghani, berkata anggota bomba yang bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan pada 4.44 pagi mendapati sebuah lori terbakar selepas melanggar belakang sebuah treler yang dipercayai diletakkan di tepi jalan.
“Kemalangan itu menyebabkan lori berkenaan terbakar 100 peratus, manakala seorang mangsa di dalam lori berkenaan rentung dan seorang lagi mengalami kecederaan. Lori treler itu pula terbakar di bahagian belakang dan pemandunya, iaitu seorang remaja berusia 18 tahun, selamat,” katanya, lapor Kosmo.
Dalam satu tragedi berasingan di Kampung Lasing, Ranau, kira-kira 1.30 pagi 14 Mei, seorang remaja perempuan berusia 15 tahun ditemui rentung di ruang tamu rumah tingkat bawah oleh anggota bomba.
Difahamkan bahawa bapa saudara mangsa, Agnes Jong Anak Adam, 15 tahun, cuba menyelamatkannya namun gagal berikutan asap tebal dan api marak terlalu cepat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ranau, Penolong Penguasa Bomba, Encin Ridwan Mohd Taib, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 1.36 pagi.
Sebuah kereta bomba bersama Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan dan lapan anggota bomba dikerah ke tempat kejadian.
Rumah dua tingkat itu musnah kerana terbakar sepenuhnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg