KLANG (Selangor): Polis mengesahkan kematian seorang wanita dan anak saudaranya yang dipercayai mangsa pembunuhan di sebuah kediaman di Semenyih, Hulu Langat di Selangor pada April lalu, adalah akibat lemas disebabkan beg plastik.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Deputi Komisioner Mohd Zaini Abu Hassan, berkata ia berdasarkan laporan bedah siasat dijalankan pihak hospital ke atas mayat kedua-dua mangsa, lapor akhbar Berita Harian Malaysia.
“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa disebabkan lemas akibat beg plastik.
“Setakat ini, tiada tangkapan dan kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, di sini, pada Isnin.
Pada 26 April lalu, media melaporkan dua bersaudara ditemui maut di dalam sebuah rumah di Semenyih, dipercayai mangsa pembunuhan.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, dipetik berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 8.43 malam.
Ia susulan seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun mengesyaki sesuatu terjadi, selepas terhidu bau busuk dari arah rumah kakaknya.
Encik Naazron berkata maklumat awal mendapati kakak pengadu yang berusia 53 tahun, yang tinggal bersama anak saudara lelaki berusia 25 tahun, tidak kelihatan di kawasan rumah mereka selama hampir 10 hari.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg