JOHOR BAHRU: Dua lelaki warga Bangladesh didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 15 Ogos atas tuduhan mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas ISIS.
Md Mamun Ali, 31 tahun, dan Md Refat Bishat, 27 tahun, mendakwa kurang faham pertuduhan yang dibacakan secara berasingan terhadap mereka di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
“Faham sikit-sikit sahaja,” kata mereka yang kedua-duanya bekerja sebagai operator kilang sejurus pertuduhan dibacakan.
Pendakwaan kemudian memohon kes ditangguhkan ke tarikh lain bagi membolehkan jurubahasa Bangladesh dikemukakan untuk pertuduhan dibacakan semula.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Md Mamun, didakwa dengan sengaja memberi sokongan kepada kumpulan pengganas ISIS itu melalui aplikasi media sosial, Facebook atas nama Sahifulla Islam.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Bahagian E8 Kaunter Terrorism Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, Kuala Lumpur antara 28 Julai 2023 dengan 30 April 2024.
Bagi perbuatan itu, lelaki terbabit didakwa di bawah perenggan 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau maksimum 40 tahun atau denda dan dirampas harta yang digunakan, jika sabit kesalahan.
Md Refat pula didakwa memiliki sekeping gambar bendera kumpulan pengganas ISIS yang juga barangan berkaitan kumpulan pengganas dalam sebuah telefon di sebuah rumah dekat Jalan Datin Halimah, Larkin Industrial Estate di Johor Bahru, pada 4.30 petang, 10 Julai, lapor MalaysiaGazette.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan hendaklah dilucutkan hak bahan-bahan berkenaan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Cik Maryam Jamielah Ab Manaff dan Cik Nur Ainaa Ridzwan, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan 12 September untuk sebutan semula bagi lantikan jurubahasa Bangladesh.
Tiada jaminan ditawarkan terhadap kedua-dua tertuduh.
Pada 4 Julai, media melaporkan, pihak berkuasa mengesan kewujudan kumpulan militan asing, Gerakan Militan Radikal Bangladesh (GMRB) yang menyebarkan fahaman ekstrem dalam kalangan warga Bangladesh yang memasuki Malaysia secara sah untuk bekerja, sebelum merekrut mereka menyertai kegiatan berkaitan keganasan.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, dilaporkan berkata kumpulan itu didapati mula menyebarkan ideologi kumpulan pengganas ISIS kepada anggota masyarakat migran, terutama warga Bangladesh, melalui wadah media sosial dan aplikasi pesanan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg