Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Imigresen M’sia tumpas sindiket pasport palsu, siap dalam 10 minit

Jul 22, 2025 | 2:50 PM
Imigresen Malaysia, pasport, palsu sindiket
Pasport palsu ditemukan dalam serbuan Jabatan Imigresen Malaysia ke atas sebuah kediaman yang dijadikan ‘kilang’ membuat dokumen palsu di Kepong, Kuala Lumpur, pada 22 Julai. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menemui ratusan pasport palsu dalam serbuan ke atas sebuah kediaman pangsapuri di Kepong, Kuala Lumpur, yang dijadikan ‘kilang’ memproses dokumen palsu pada awal pagi 22 Julai.

Ketika serbuan Ops Serkap dijalankan Bahagian Penguatkuasa JIM Kuala Lumpur itu, dua lelaki Bangladesh berusia lingkungan 20-an tahun disyaki ahli sindiket berkenaan sedang leka memproses ratusan naskhah pasport palsu dalam sebuah bilik di pangsapuri itu.

Tinjauan mendapati antara pasport palsu yang dihasilkan membabitkan negara Bangladesh, India, Nepal, Indonesia, Pakistan dan Myanmar berdasarkan kulit pasport yang ditemui di premis disewa itu.

Selain itu, turut ditemui sejumlah dokumen berkaitan Agensi Pemantauan dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (Fomema) yang diperlukan buruh asing untuk bekerja di Malaysia.

Difahamkan, sindiket itu dipercayai mengenakan caj RM400 ($121) bagi setiap pasport palsu dihasilkan di ‘kilang’ itu.

Ketika diminta menunjukkan proses membuat dokumen palsu terbabit, dua lelaki Bangladesh itu menyiapkan senaskhah pasport palsu dalam tempoh hanya kira-kira 10 minit.

Suspek berkenaan yang sukar bertutur dalam bahasa Malaysia mendakwa mereka hanya bekerja di premis terbabit dengan gaji kira-kira RM2,500 sebulan.

“Satu hari saya boleh buat (pasport palsu) dalam 20 hingga 30, tengok berapa order (tempahan) daripada bos. Saya kerja saja di sini, saya tidak tahu siapa pemilik pasport ini kerana dibuat atas arahan bos,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Sementara itu, Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Encik Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff, yang mengetuai operasi berkata serbuan dijalankan susulan risikan selama sebulan.

“Modus operandi sindiket adalah menyediakan dokumen perjalanan (pasport) palsu bagi memperdaya pihak klinik untuk mendapatkan laporan Fomema.

“Sindiket akan menggunakan butiran peribadi individu lain berstatus ‘fit’ dan menukar wajah pada pasport itu kepada warga asing terbabit bagi menipu laporan darah dan X-ray,” katanya.

Beliau berkata warga asing terbabit kemudian akan menggunakan laporan Fomema berkenaan untuk permohonan melanjutkan tempoh pas masing-masing.

Katanya, siasatan awal mendapati keseluruhan transaksi antara pelanggan dan ejen dilakukan menerusi aplikasi WhatsApp dan tempahan disalurkan kepada dua suspek yang ditahan untuk diproses.

“Bayaran dibuat menerusi satu akaun dipercayai pemiliknya seorang individu yang berpangkalan di Bangladesh dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan semua individu terbabit dalam sindiket itu,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg