Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Eksport durian M’sia ke China cecah RM6.37b sejak 2018

Oct 7, 2025 | 11:21 AM
Ekonomi M’sia, Eksport durian China
Jumlah keseluruhan eksport durian Malaysia ke China mencecah 115,359 tan metrik dari 2018 hingga 2025. - Foto hiasan

China kekal sebagai pasaran utama bagi eksport durian Malaysia dengan jumlah keseluruhan eksport mencecah 115,359 tan metrik bernilai RM6.37 bilion ($1.96 bilion) dari 2018 hingga 2025.

Demikian menurut Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam jawapan bertulis di Parlimen.

KPKM menjelaskan berdasarkan rekod Sijil Fitosanitasi yang dikeluarkan oleh Jabatan Pertanian, eksport durian Malaysia ke China meliputi tiga kategori utama iaitu durian sejuk beku dalam bentuk biji, durian segar, serta durian dalam bentuk pulp and paste’ (isi dan pes).

“Pada 2018, Malaysia mengeksport sebanyak 3,555 tan metrik durian ‘pulp and paste’ bernilai RM202 juta.

“Seterusnya, selepas China meluluskan kemasukan durian sejuk beku dalam bentuk biji pada Jun 2019, Malaysia mencatat eksport sebanyak 3,177 tan metrik bernilai RM143 juta, dengan nilai ‘pulp and paste’ turut meningkat kepada RM168 juta.

“Trend itu terus meningkat apabila pada 2020, eksport durian sejuk beku biji melonjak kepada 6,225 tan metrik bernilai RM286 juta, manakala ‘pulp and paste’ turun sedikit kepada 3,456 tan metrik bernilai RM171 juta,” kata KPKM dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen pada 6 Oktober.

Rentak positif diteruskan pada 2021 dengan eksport durian sejuk beku biji meningkat dua kali ganda kepada 12,153 tan metrik bernilai RM577 juta, sementara isi dan pes turut naik kepada 5,895 tan metrik bernilai RM368 juta.

Setahun kemudian, pada 2022, eksport durian sejuk beku biji mencatat 13,401 tan metrik dengan nilai RM1.277 bilion, sementara isi dan pes berjumlah 5,703 tan metrik bernilai RM326 juta.

“Walaupun pada 2023 jumlah eksport durian sejuk beku biji kekal stabil pada 13,983 tan metrik, nilainya turun kepada RM738 juta, namun eksport isi dan pes melonjak dua kali ganda kepada 12,321 tan metrik bernilai RM623 juta,” tambahnya.

Kementerian turut memaklumkan bahawa Malaysia kini meneroka pasaran baru bagi produk durian ke Taiwan dan Peru, sebagai sebahagian daripada usaha mempelbagaikan destinasi eksport selain China.

Menurut KPKM, unjuran eksport durian Malaysia dijangka mencecah RM1.8 bilion menjelang 2030, melibatkan 69,000 tan metrik durian untuk pasaran antarabangsa.

“Jabatan Pertanian akan terus komited meneroka pasaran baru dan memastikan piawaian fitosanitasi Malaysia kekal menepati standard antarabangsa agar produk durian negara mampu bersaing di peringkat global,” kata kementerian itu.

Kenyataan tersebut merupakan jawapan kepada soalan Ahli Parlimen (AP) Bayan Baru, Encik Sim Tze Tzin, yang meminta kementerian menyatakan jumlah eksport durian mengikut tahun serta pasaran baru yang sedang diterokai oleh kerajaan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg