JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor melihat sektor penanaman durian sebagai salah satu tumpuan utama ekonomi pertanian yang selari dengan sasaran pengeluaran buah-buahan lebih 900,000 tan metrik setahun menjelang 2027 secara berperingkat.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Zahari Sarip, berkata selain Musang King dan Black Thorn yang sering menjadi pilihan, durian kampung juga tidak kurang hebatnya dari segi rasa dan menjadi kegemaran ramai.
Beliau memaklumkan bagi 2025, Kerajaan Johor bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan telah memperuntukkan RM2 juta ($602,743) khusus bagi memperkukuh industri durian.
“Peruntukan ini telah memberi manfaat kepada 341 pengusaha, terutama pekebun kecil dan sederhana, melibatkan kawasan tanaman seluas 650 hektar.
“Usaha ini bertujuan memastikan pengeluaran durian dan buah-buahan lain dapat dipertingkatkan secara mampan, sekali gus memberi pulangan ekonomi yang lebih baik kepada pengusaha tempatan,” katanya dalam satu kenyataan pada 29 Julai.
Menurut Datuk Zahari, Johor kekal sebagai negeri dengan kawasan tanaman buah-buahan terbesar di Malaysia, iaitu seluas 47,800 hektar atau 32.5 peratus daripada keseluruhan keluasan tanaman buah-buahan negara.
“Daripada jumlah itu, 23,690 hektar atau hampir separuh adalah kawasan tanaman durian, dengan pengeluaran mencecah 189,787 tan metrik setahun.
“Selain memenuhi permintaan tempatan, durian Johor turut menembusi pasaran antarabangsa termasuk Singapura, China dan Hong Kong, dalam bentuk buah segar dan produk berasaskan durian.
“Setakat awal Julai 2025, Malaysia telah mengeksport 13 juta kilogram (kg) durian ke lebih 20 negara dengan nilai anggaran RM339 juta,” jelasnya.
Perkembangan terbaru yang membenarkan pengeksportan durian segar ke China dijangka melonjakkan lagi nilai eksport sektor itu.
Sebelum ini, hanya durian dalam bentuk sejuk beku dibenarkan masuk ke negara tersebut.
“Ini adalah peluang besar yang perlu direbut oleh pengusaha durian tempatan untuk meneroka pasaran China.
“Akses pasaran ini bukan sahaja berpotensi meningkatkan pendapatan usahawan, malah dapat mengukuhkan hubungan perdagangan dan diplomatik antara Malaysia dengan China yang kini mencecah 50 tahun,” kata Datuk Zahari.
Beliau yakin “diplomasi durian” itu akan membuka ruang kerjasama lebih luas, termasuk dalam aspek pelancongan, budaya dan makanan, seterusnya mempromosikan durian Johor sebagai jenama yang mampu bersaing di peringkat sejagat.
Terdahulu, Datuk Zahari dilaporkan berkata Malaysia mengeksport 7.2 juta kg durian ke Singapura melalui pintu keluar Johor pada 2024.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg