Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia menahan dan menyita empat kenderaan e-hailing (menempah kenderaan secara dalam talian) milik warga Singapura yang didapati menjalankan kegiatan ‘sewa-upah’ secara haram di sekitar Johor Bahru sejak 9 Ogos.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, berkata operasi itu dilaksanakan menerusi Ops Khas E-Hailing Kenderaan Asing yang digerakkan hasil maklumat risikan pihak berkuasa.
Tambahnya, kenderaan tersebut dipandu lelaki warga Singapura dan masing-masing membawa penumpang dari republik ini serta pelancong asing yang memasuki Malaysia melalui Singapura untuk tujuan melancong.
Hasil pemeriksaan mendapati semua kenderaan terbabit tidak mempunyai lesen pengendali yang sah, tidak berdaftar sebagai kenderaan perkhidmatan awam, dan tidak memiliki cukai jalan Malaysia.
“Tindakan penahanan dan penyitaan dilaksanakan mengikut Seksyen 80 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 16(1) akta sama kerana mengendalikan kenderaan perkhidmatan awam tanpa lesen pengendali sah di Malaysia.
“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan jalan raya,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat JPJ Johor di Taman Daya, Johor Bahru, pada malam 14 Ogos.
Beliau berkata sebelum ini pihak JPJ lebih memberi tumpuan kepada nasihat dan hebahan mengenai larangan tersebut, namun mulai minggu ini tindakan tegas diambil terhadap mana-mana kenderaan e-hailing asing yang beroperasi tanpa permit sah di negara itu.
“Kita akan membawa kes ini ke mahkamah untuk proses lucut hak kenderaan. Tiada lagi kompromi terhadap pemandu yang mengambil kesempatan membawa pelancong tanpa permit, mengenakan tambang tinggi, dan beroperasi di luar undang-undang,” tegasnya.
Datuk Aedy turut mendedahkan bahawa tambang yang dikenakan pemandu tidak berlesen ini jauh lebih tinggi berbanding kadar perkhidmatan sah.
“Sebagai contoh, perjalanan dari Singapura ke Johor Bahru boleh mencecah $180 (sekitar RM630) seorang bagi ke JB Sentral, manakala perjalanan ke Legoland pula minimum $200 (RM700) sehala.
“Lebih jauh destinasi, lebih tinggi caj dikenakan seperti ke Ipoh yang dilaporkan sehingga $1,200 (kira-kira RM4,200) bagi satu perjalanan,” katanya.
Beliau menjelaskan, walaupun penumpang tidak dikenakan tindakan kerana dianggap saksi, JPJ menegaskan bahawa pemandu kenderaan asing tidak dibenarkan menjalankan perkhidmatan e-hailing di Malaysia tanpa kelulusan dan permit sah daripada pihak berkuasa.
“Kita sudah ada pengendali e-hailing tempatan yang berlesen. Jika ada pengendali luar negara mahu beroperasi di Malaysia, mereka perlu mendapatkan kebenaran daripada kerajaan dan pihak APAD,” katanya.
Menurutnya, kebanyakan pemandu warga Singapura ini mempromosikan perkhidmatan mereka melalui media sosial, aplikasi pesanan seperti WhatsApp dan Telegram, serta menggunakan pelekat khas pada kenderaan untuk memudahkan pelanggan mengenali mereka.
Ops Khas itu memberi tumpuan di lokasi-lokasi tumpuan pelancong di Johor seperti Legoland dan Danga Bay, sebelum diperluaskan ke negeri lain.
Ditanya samada operasi itu dijalankan sebagai tindak balas kepada tindakan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) yang menahan pemandu perkhidmatan kenderaan sewa privet haram di Singapura dan rentas sempadan ke Malaysia, Datuk Aedy menegaskan bahawa operasi itu adalah inisiatif penguatkuasaan JPJ sendiri demi memastikan keselamatan penumpang dan integriti sistem pengangkutan Malaysia.
“Kita tidak mahu berlakunya kemalangan melibatkan pelancong asing yang menaiki kenderaan tanpa permit. Kejadian seperti itu boleh memberi kesan buruk kepada penumpang, pemandu dan juga hubungan antara dua negara.
“Sebab itu kita perlu pastikan setiap perkhidmatan pengangkutan yang beroperasi di Malaysia berada dalam keadaan sah dan selamat,” katanya.
Beliau menyeru orang awam yang mempunyai maklumat mengenai pelanggaran undang-undang itu supaya menyalurkan aduan lengkap melalui aplikasi MyJPJ: e-Aduan atau e-mel aduantrafik@jpj.gov.my.
“Operasi seperti ini akan diteruskan secara berterusan demi menjamin keselamatan pengguna jalan raya dan memastikan hanya perkhidmatan berlesen dibenarkan beroperasi di negara ini,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg