Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

19 pemandu ditahan tawar khidmat kenderaan sewa haram di S’pura, rentas sempadan

Aug 6, 2025 | 7:00 PM
pemandu, khidmat haram, LTA, ICA
Para pemandu yang menawarkan khidmat kenderaan sewa privet haram ditangkap dalam operasi bersama oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan Penguasa Imigresen & Pusat Pemeriksaan (ICA), yang menyasarkan perkhidmatan sedemikian di pusat pemeriksaan darat serta melalui rondaan LTA di Gardens by the Bay dan Lapangan Terbang Changi. - Foto FACEBOOK LTA

Seramai 19 pemandu telah ditahan kerana menawarkan perkhidmatan kenderaan sewa privet haram di Singapura dan rentas sempadan ke Malaysia pada 5 Ogos.

Mereka ditangkap dalam operasi bersama yang dijalankan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA), yang menyasarkan perkhidmatan sedemikian di pusat pemeriksaan darat serta melalui rondaan LTA di Gardens by the Bay dan Lapangan Terbang Changi.

Ini merupakan kali pertama LTA dan ICA menjalankan operasi sebegitu di pusat pemeriksaan darat, lapor The Straits Times (ST).

Dalam kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebook rasmi LTA pada 6 Ogos, pihak penguasa itu memaklumkan kenderaan yang terlibat telah disita.

LTA belum mengesahkan lokasi pusat pemeriksaan darat itu namun video yang dikongsikan di media sosial mencadangkan operasi tersebut dibuat di Pusat Pemeriksaan Tuas.

Menteri Negara Kanan (Pengangkutan merangkap Pembangunan Negara), Cik Sun Xueling, berkata dalam satu hantaran Facebook pada 6 Ogos bahawa LTA sedang mempertingkatkan penguatkuasaan terhadap perkhidmatan haram tersebut kerana pemandu sebegitu tidak memiliki lesen dan perlindungan insurans yang sah.

“Perkhidmatan sebegini membahayakan penumpang dan menjejas sumber pendapatan pemandu berlesen yang mematuhi undang-undang,” katanya.

Cik Sun berkata pemerintah sedang meneliti cara memperbaiki skim teksi rentas sempadan berlesen sedia ada dengan memperluaskan lokasi turun naik penumpang, serta menggalakkan penyertaan lebih banyak teksi.

Ini termasuk penggunaan pelbagai jenis kenderaan bagi memenuhi keperluan penumpang yang berbeza, serta menyediakan aplikasi tempahan mesra pengguna.

Usaha membanteras perkhidmatan tersebut juga telah dipertingkatkan kebelakangan ini.

Melalui maklumat yang diterima daripada Persatuan Kenderaan Sewa Privet Nasional (NPHVA) dan rondaan tetap, LTA berkata seramai 12 pemandu telah diberkas setakat 29 Julai, termasuk empat di sekitar Punggol Road dan Turf Club Avenue.

Ini menyusuli satu lagi operasi di Lapangan Terbang Changi pada 18 Julai, dengan 10 pemandu ditahan kerana menawarkan perkhidmatan kenderaan sewa haram.

Di bawah undang-undang sedia ada, perbuatan menawarkan perkhidmatan pengangkutan dari satu tempat ke satu tempat (P2P) di Singapura atau merentasi sempadan tanpa Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSVL) yang sah merupakan satu kesalahan.

Pesalah boleh didenda sehingga $3,000, dipenjara sehingga enam bulan atau kededuanya sekali.

Kenderaan yang digunakan juga boleh dirampas.

Hanya teksi berdaftar di Singapura dan Malaysia yang mendapat kelulusan pihak berkuasa kededua negara dibenarkan menawarkan perkhidmatan rentas sempadan.

Teksi itu hanya boleh mengambil dan menurunkan penumpang di lokasi yang ditetapkan.

Selain PSVL, teksi berdaftar di Malaysia juga perlu mempunyai Permit Kenderaan Perkhidmatan Awam Asean.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg