Topik diikuti
Pergi ke BHkuEmpat lorong ambil, turun penumpang di Jalan Tun Abdul Razak bagi persediaan RTS Link
Empat lorong ambil, turun penumpang di Jalan Tun Abdul Razak bagi persediaan RTS Link
JOHOR BAHRU: Empat lorong mengambil dan menurunkan penumpang di Jalan Tun Abdul Razak dirancang dibahagikan kepada dua lorong untuk kenderaan e-hailing dan dua lagi bagi kereta persendirian sebagai persediaan menjelang pengoperasian Sistem Transit Laju (RTS) Link.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata jalan itu akan menjadi laluan utama bagi kedua-dua jenis kenderaan tersebut di sekitar JB Sentral dan Bukit Chagar.
Menurutnya, kerja pelebaran lorong mengambil dan menurunkan penumpang sedang dilaksanakan bagi menambah kapasiti serta melancarkan pergerakan trafik, khususnya pada waktu puncak.
“Penyusunan ini juga penting apabila pengoperasian RTS Link bermula nanti supaya pergerakan kenderaan persendirian, e-hailing dan pengangkutan awam dapat diurus dengan lebih teratur tanpa bertumpu pada laluan yang sama,” katanya dalam kenyataan pada 14 Oktober.
Dalam kenyataan tinjauan yang dikongsikan, Encik Fazli menjelaskan bahawa dua lorong paling hampir dengan pintu masuk akan diperuntukkan kepada kenderaan e-hailing, manakala dua lagi untuk kereta persendirian.
Bagaimanapun, beliau menekankan keperluan mengasingkan aliran kenderaan lebih awal bagi memastikan keempat-empat lorong digunakan dengan berkesan.
Beliau bimbang pemandu kedua-dua jenis kenderaan akan tetap tertumpu pada lorong paling dekat dengan pintu masuk sekiranya penyusunan itu tidak dilakukan dengan jelas.
Menurutnya, penambahbaikan di kawasan berkenaan akan terus diteliti bersama Jabatan Kerja Raya dan agensi berkaitan.
“Penambahbaikan ini akan terus dipantau dan diperhalusi supaya pergerakan di pusat bandar Johor Bahru menjadi lebih lancar, tersusun dan mesra pengguna,” katanya.
Terdahulu, Encik Fazli memaklumkan bahawa kerajaan negeri merancang menjadikan Jalan Jim Quee sebagai laluan keutamaan pengangkutan awam, khususnya bas dan teksi, manakala kenderaan persendirian menggunakan laluan alternatif.
Langkah itu bertujuan melancarkan pergerakan bas dan mengurangkan pertembungan aliran trafik dengan kereta persendirian serta kenderaan e-hailing di sekitar Bukit Chagar.
Beliau berkata pertambahan penumpang apabila RTS Link beroperasi memerlukan perancangan sambungan perjalanan yang lebih teratur dari stesen ke destinasi seterusnya.
“Kawasan sekitar JB Sentral dan Bukit Chagar memang antara lokasi paling sibuk di pusat bandar Johor Bahru. Apabila RTS Link mula beroperasi kelak, jumlah penumpang dijangka meningkat.
“Sebab itu, sambungan perjalanan dari stesen ke destinasi seterusnya perlu dirancang dengan lebih teratur,” katanya.
Menurut Encik Fazli, pelaksanaan perubahan di Jalan Jim Quee dan laluan alternatif akan diperhalusi bersama agensi berkaitan supaya keperluan pengguna jalan raya diambil kira.
Dengan penyusunan itu, pengguna RTS diharap dapat meneruskan perjalanan menggunakan pengangkutan awam dengan lebih mudah, sementara urusan mengambil dan menurunkan penumpang bagi kenderaan lain dapat diurus dengan lebih lancar.