KOTA TINGGI: Projek pembinaan loji pakej berkapasiti 50 juta liter sehari di Loji Rawatan Air (LRA) Semangar di sini dijangka siap pada 10 Januari 2027.

Projek bernilai kira-kira RM74.95 juta ($23.34 juta) itu dilaksanakan bagi menambah keupayaan pengeluaran air terawat untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

Antara kawasan yang dicadangkan menerima manfaat daripada penambahan kapasiti tersebut ialah Sedenak dan kawasan sekitar Kulai, Senai serta Johor Bahru.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata kemajuan fizikal sebenar projek mencapai 57.68 peratus setakat 15 September.

Pencapaian itu mengatasi kemajuan berjadual sebanyak 57.10 peratus, sekali gus meletakkan projek tersebut 0.58 mata peratusan di hadapan jadual.

“Dengan tarikh siap semasa ditetapkan pada 10 Januari 2027, pemantauan terhadap kemajuan kerja, penyelarasan teknikal serta perolehan bahan dan peralatan perlu terus diperkemas.

“Kesiapsiagaan semua pihak juga perlu dipastikan supaya projek ini dapat disiapkan mengikut perancangan,” katanya dalam kenyataan pada 15 September.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke LRA Semangar bagi meninjau kemajuan pembinaan loji pakej tersebut.

Menurut Encik Mohamad Fazli, penambahan kapasiti air terawat diperlukan bagi menyokong pertumbuhan penduduk dan kegiatan perindustrian di kawasan yang bakal menerima bekalan.

Pembinaan itu juga merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri memperkukuh prasarana asas seiring dengan perkembangan ekonomi Johor.

“Yang penting, penambahan kapasiti ini akhirnya mesti diterjemahkan kepada bekalan air yang lebih stabil dan mencukupi bagi memenuhi keperluan rakyat serta pembangunan industri,” katanya.

Encik Mohamad Fazli berkata kerajaan negeri akan terus memberikan perhatian kepada usaha meningkatkan keselamatan dan kebolehpercayaan bekalan air di Johor.

Perancangan prasarana air perlu bergerak seiring dengan pembangunan negeri supaya peningkatan permintaan pada masa hadapan dapat ditampung.

“Kita mahu pembangunan negeri terus bergerak, manakala prasarana asas sentiasa bersedia menyokong keperluan rakyat dan pertumbuhan Johor bagi tahun-tahun mendatang.

“Usaha memperkukuh prasarana air negeri akan terus menjadi keutamaan demi kesejahteraan rakyat dan masa hadapan Johor yang lebih mampan,” katanya.