Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

FashionValet rugi 5 tahun berturut-turut sebelum pelaburan GLC M’sia

SPRM serbu premis Kementerian Kewangan, Khazanah, PNB dan FashionValet
Nov 5, 2024 | 2:14 PM
Usahawan fesyen, Datin Vivy Yusof, dan suami, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar, melepaskan jawatan mereka sebagai pengasas bersama dalam syarikat e-dagang, Fashion Valet Sdn Bhd, selepas kontroversi isu kerugian syarikat berkenaan yang menerima dana awam RM43.9 juta daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Malaysia.
Usahawan fesyen, Datin Vivy Yusof, dan suami, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar, melepaskan jawatan mereka sebagai pengasas bersama dalam syarikat e-dagang, Fashion Valet Sdn Bhd, selepas kontroversi isu kerugian syarikat berkenaan yang menerima dana awam RM43.9 juta daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Malaysia. - Foto INSTAGRAM DATIN VIVY YUSOF

KUALA LUMPUR: FashionValet Sdn Bhd (FV) yang menjadi tumpuan berikutan kerugian pelaburan yang ditanggung Khazanah Nasional Bhd dan Permodalan Nasional Bhd (PNB), disahkan kerugian lima tahun berturut-turut, sebelum dua syarikat pelaburan berkaitan kerajaan tersebut melabur.

Semakan pemfailan akaun kewangan syarikat antara 2012 dan 2017 menunjukkan bahawa kerugiannya meningkat kepada RM10.7 juta ($3.22 juta) pada 2017, berbanding RM166,793 pada 2012, sebelum pelaburan Khazanah dan PNB dalam syarikat itu pada 2018.

Maklumat kewangan itu diperoleh daripada pemfailan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Pada tahun Khazanah dan PNB melabur dalam syarikat itu, ia catatkan kerugian bersih sebanyak RM20.19 juta.

Liabiliti semasa syarikat pada 2012 melebihi aset semasa sebanyak RM401,248 sebelum bertambah baik pada 2017 kepada kedudukan aset bersih RM1.24 juta.

Menariknya antara 2015 dan 2017, jumlah aset meningkat hampir 300 peratus kepada RM14.7 juta, manakala jumlah liabiliti meningkat lebih 100 peratus kepada RM11.7 juta.

Khazanah dan PNB masing-masing melabur RM27 juta dan RM20 juta ke dalam FV pada 2018, lapor Berita Harian Malaysia (BHM), memetik Business Times.

BHM turut melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 4 November menyerbu empat premis termasuk Kementerian Kewangan, Khazanah dan PNB, selain ibu pejabat FV, dalam siasatan berkaitan kerugian pelaburan dana awam berjumlah RM43.9 juta itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, turut mengesahkan merakam percakapan kededua Datin Vivy dan Datuk Fadzaruddin di ibu pejabat SPRM untuk membantu siasatan berhubung kerugian besar pelaburan dalam FV membabitkan dana awam.

Mereka berdua adalah antara antara enam individu yang dirakam percakapan selepas pegawai penyiasat SPRM menyerbu empat lokasi termasuk sebuah kementerian, pada 4 November.

Datin Vivy dan Datuk Fadzaruddin sebelum ini memohon maaf selepas isu kerugian FV yang menerima dana awam yang menjejas PNB dan Khazanah menjadi kontroversi.

Mereka turut melepaskan jawatan sebagai pengasas bersama dalam FV.

Dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi akaun Instagram mereka sejurus kontroversi itu, pasangan berkenaan berkata keputusan itu antara lain bagi mengelak isu itu terus menjejas syarikat yang kini dalam fasa pemulihan.

Datin Vivy dalam penjelasan itu mendakwa kegagalan berpunca tindakan mereka yang membuat pelaburan terlalu banyak ke dalam sistem teknologi dan memperbesarkan pasukan dengan terlalu cepat.

Katanya kegagalan itu juga terjadi susulan pembukaan terlalu banyak kedai runcit fizikal selepas jangkakan kemajuan berterusan, namun menerima tamparan hebat semasa pandemik Covid-19 melanda.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg