Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SPRM siasat kerugian RM43.9j dalam pelaburan FashionValet

Nov 2, 2024 | 10:07 AM
Vivy Yusof
Vivy Yusof - Foto fail

KUALA LUMPUR: Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan sudah memulakan siasatan terhadap kerugian pelaburan bernilai RM43.9 juta ($13.3 juta) oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dalam FashionValet Sdn Bhd (FashionValet).

Difahamkan siasatan itu dijalankan disebabkan jumlah kerugian yang direkodkan kedua-dua agensi berkaitan kerajaan berkenaan terlalu besar dan membabitkan kepentingan awam.

Berita Harian Malaysia difahamkan antara fokus siasatan ketika ini adalah berkaitan pengurusan kewangan dalam pelaburan itu serta unsur-unsur rasuah dalam perniagaan itu.

Pada 31 Oktober PNB dan Khazanah dilaporkan perlu memberi penjelasan berhubung kerugian pelaburan berjumlah RM43.9 juta yang dialami dua syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) itu dalam FashionValet.

Menteri Komunikasi Malaysia, Encik Fahmi Fadzil, dilaporkan berkata rakyat membangkitkan persoalan mengenai kerugian itu sehingga pelbagai kandungan berkaitan dimuat naik di media sosial.

Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada 28 Oktober, Kementerian Kewangan memaklumkan, Khazanah dan PNB memperoleh RM3.1 juta hasil penjualan saham dalam platform e-dagang fesyen, Fashion Valet kepada syarikat Bumiputera, NXBT Partners pada 2023.

Jumlah itu diperoleh berbanding pelaburan RM47 juta yang dibuat Khazanah dan PNB pada 2018, masing-masing RM27 dan RM20 juta untuk pegangan minoriti dalam FashionValet.

Usahawan fesyen, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar turut memberi respons mengenai isu itu dengan berkata mereka akan melepaskan jawatan mereka dalam platform e-dagang itu.

Dalam kenyataan bersama yang dimuat naik menerusi akaun Instagram mereka pada 1 November, pasangan berkenaan berkata ketetapan itu dibuat susulan isu terkini membabitkan penjualan saham PNB dan Khazanah dalam syarikat itu.

Malah pasangan itu turut memohon maaf susulan kontroversi berkenaan yang menjejaskan PNB dan Khazanah.

Vivy dan Fadzaruddin juga mengakui tidak memiliki perancangan mencukupi untuk FashionValet berdepan risiko cabaran ketika cuba mengembangkan perniagaan secara agresif.

Mereka mengakui melakukan kesilapan dengan mengembangkan perniagaan berdasarkan jangkaan pertumbuhan berterusan, biarpun ketika pandemik Covid-19.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg