KUALA LUMPUR: Berjaya Food International Sdn Bhd (BFI), anak syarikat milik penuh Berjaya Food Bhd (BFood), terus mengorak langkah dalam usaha memperkukuh kedudukan di peringkat global dengan menandatangani memorandum persefahaman (MOU) bersama konglomerat Mongolia, BlueMon Group.
Kerjasama strategik itu membuka laluan kepada kemasukan jenama terkenal dunia, Krispy Kreme Doughnuts, ke pasaran Mongolia buat julung kalinya — sekali gus meluaskan lagi jejak global jenama berkenaan yang kini sudah bertapak kukuh di Amerika Utara, Eropah, Timur Tengah serta Asia Pasifik.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BFood, Datuk Sydney Quays, berkata pihaknya yakin pasaran Mongolia mempunyai potensi pertumbuhan tinggi susulan peningkatan permintaan terhadap pengalaman makanan bermutu dalam kalangan pengguna tempatan.
“Menerusi kerjasama dengan BlueMon Group, kami komited untuk memperkenalkan pengalaman ikonik Krispy Kreme yang sinonim dengan keenakan ‘Original Glazed’ dan suasana kedai yang mesra kepada pengguna di Mongolia.
“Gabungan kekuatan kami dalam membangunkan jenama makanan dan minuman bertaraf antarabangsa serta keupayaan BlueMon memahami pasaran tempatan diyakini mampu mencetus impak positif terhadap landskap gaya hidup moden Mongolia,” katanya dalam kenyataan pada 8 Mei, lapor Berita Harian Malaysia.
MOU itu ditandatangani oleh Pengarah BFI, Encik Luis Daniel; Pengerusi dan Presiden Kumpulan BlueMon, Encik Sanjjav Tseveen-Ochir; serta Ketua Pegawai Kewangan dan Ketua Bahagian F&B BlueMon, Tsogzul Bold.
Sementara itu, Encik Sanjjav berkata kerjasama tersebut adalah sebahagian daripada usaha berterusan BlueMon untuk membawa masuk jenama antarabangsa terkemuka ke Mongolia dalam menyokong perubahan gaya hidup rakyatnya.
“Kami percaya kemunculan Krispy Kreme mampu menyerlahkan lagi kepelbagaian penawaran makanan bermutu tinggi di negara ini, sejajar dengan cita rasa pengguna yang semakin sofistikated.
“Ini juga mencerminkan komitmen jangka panjang kami dalam membentuk masa depan industri runcit dan budaya makanan di Mongolia,” katanya.
Pembukaan cawangan pertama Krispy Kreme di Mongolia dijangka diumumkan tidak lama lagi, selaras dengan usaha kerajaan negara itu memacu pertumbuhan ekonomi melalui pembangunan infrastruktur bandar moden serta sektor runcit yang pesat berkembang.
Langkah terbaru ini turut memperkukuh lagi momentum BFood dalam usaha melebarkan sayap ke luar negara, selepas kejayaan menembusi pasaran ASEAN, rantau Nordic Timur Tengah sebelum ini.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg