KUALA LUMPUR: Sektor pertukangan kayu selalunya dikaitkan dengan lelaki, namun jika sudah ada minat yang mendalam, ia tidak menghalang golongan wanita untuk turut berkecimpung dalam industri itu.
Bermula dengan menghasilkan kraf tangan yang kecil sekitar 2016, Cik Yusra Md Yani, 34 tahun, kini boleh berbangga dengan pelbagai kraf daripada kayu dan akrilik yang dihasilkan.
Malah, ibu kepada tiga anak itu yang sebelum ini hanya menyewa sebuah kedai di Rembau, Negeri Sembilan, untuk merealisasikan hasratnya sebagai usahawan kraf, kini mempunyai dua lot kedai dan mempunyai empat pekerja.
Anak kelahiran Pulau Langkawi, Kedah, itu berkata semuanya bermula apabila suaminya, Encik Mohd Khairuddin Ramli, 35 tahun, yang suka menghasilkan pelbagai kraf tangan daripada kayu secara suka-suka.
Cik Yusra, yang mempunyai Diploma Reka Bentuk Dalaman dari Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Rembau, kemudian belajar cara membuat kraftangan daripada suaminya.
“Percubaan pertama saya menghasilkan rantai kunci daripada buluh dan tidak sangka mendapat permintaan, malah saya mendapat pesanan yang besar daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ketika itu.
“Dari situ saya melihat bahawa saya mempunyai hala tuju dalam bidang ini dan terus belajar membuat pelbagai jenis kraf tangan, terutama hadiah korporat,” katanya kepada Berita Harian Malaysia ketika ditemui pada acara Showcase Batik dan Kraf 2025 di Medan Mara, baru-baru ini.
Cik Yusra berkata beliau kini berjaya menghasilkan pelbagai kraf daripada kayu seperti plak penghargaan, bingkai bergambar, bingkai tulisan khat, papan rehal, penanda buku, jam dan pelbagai barangan perhiasan rumah.
Katanya, jika sebelum ini beliau bermula dengan hanya satu mesin, kini beliau sudah mempunyai lima mesin, termasuk mesin pemotong kayu, mesin pemotong laser dan mesin pemotong ‘UV print’.
“Ilham untuk membuat pelbagai barangan kraf pula diperoleh dari pelbagai tempat. Sebagai contoh jika saya ke sesuatu masjid, saya akan melihat reka bentuknya dan mengambil ilham dari situ.
“Begitu juga jika ke pasar raya, saya akan melihat keadaan sekeliling untuk mendapatkan idea membuat kraftangan,” katanya.
Pemilik Sublime Crafts Studio itu berkata tahun lalu suaminya yang bekerja sebagai pensyarah mendapat ilham membuat bingkai gambar dengan ayat atau doa dengan tulisan rumi.
Cik Yusra berkata beliau tidak menyangka bingkai yang dibuat itu mendapat permintaan, terutama daripada ibu bapa yang mahu memberikan kepada anak mereka supaya mudah menyebut doa.
“Ketika ini bingkai seperti ini memang mendapat permintaan, terutama yang bersaiz besar bagi memudahkan anak-anak membaca,” katanya.
Selain menjual hasil kraftangan di kedainya di Rembau, beliau turut menjual hasil kraftangan menerusi laman sosial serta aktif mengikut pelbagai acara atau program, terutama yang dianjurkan oleh Mara.
Katanya, dengan menyertai acara seperti itu, beliau dapat mempromosikan produknya secara terus kepada orang ramai.
“Pelanggan boleh melihat dan memegang produk yang dijual sebelum membuat keputusan untuk membeli atau menempah,” katanya.
Beliau berkata, sebagai usahawan, sudah pasti beliau mahu produknya dikenali bukan sahaja di dalam negara, tetapi juga di luar negara.
“Saya mahu menunjukkan walaupun saya seorang wanita, tetapi saya mampu menghasilkan produk kraftangan yang unik, kemas dan cantik,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg