KUALA LUMPUR: Bekas Ketua bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Port Dickson (Negeri Sembilan), yang dikenali sebagai Chegubard, dijatuhi hukuman penjara empat bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 28 Oktober atas kesalahan fitnah jenayah membabitkan kenyataan yang boleh mencemarkan nama baik Yang di-Pertuan Agong.

Hakim Norma Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap Chegubard atau nama sebenarnya, Badrul Hisham Shaharin, 48 tahun, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Mahkamah mengarahkan hukuman penjara bermula pada 28 Oktober, lapor portal berita Malaysiakini.

Peguamnya, Encik Rafique Rashid Ali, berkata hukuman berkenaan diputuskan selepas mahkamah mendengar hujahan mitigasi daripada pihak pembelaan dan pendakwaan.

Bagaimanapun katanya mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman, sementara menunggu rayuan dibuat oleh Chegubard di Mahkamah Tinggi.

Mahkamah turut menaikkan jumlah jaminan Chegubard kepada RM5,000 ($1,571), menjadikan jumlah jaminan RM15,000.

Chegubard didakwa pada 29 April 2024 berhubung kesalahan yang didakwa dilakukan pada 22 Januari tahun sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Chegubard berkata pada awalnya mahkamah telah mengetepikan pertuduhan terhadapnya sebelum ini.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan mengemukakan rayuan yang akhirnya membawa kepada keputusan hukuman penjara empat bulan dikenakan terhadapnya.

Katanya, tuduhan terhadapnya dibuat berdasarkan satu video himpunan di hadapan Istana Negara, Kuala Lumpur, pada 2024 yang telah disunting dengan menggunakan akaun media sosial palsu.

“Pada peringkat pendakwaan kes ini telah dibuang, kemudian rayuan masuk oleh timbalan pendakwa raya... hakim yang sama dah buang (kes) di peringkat pendakwaan akhirnya hari ini (28 Oktober) hakim menjatuhkan hukuman penjara.

“Kita mohon hukuman ditangguhkan meskipun dibantah oleh timbalan pendakwa raya, namun hakim memberi kebenaran,” katanya kepada Malaysiakini.

Chegubard sebelum ini dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen pada 2025.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi pada 2026 memerintahkan Chegubard membela diri sebelum prosiding diteruskan sehingga keputusan hukuman pada 28 Oktober.