KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Malaysia, Encik Najib Tun Razak, gagal dalam permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion ($3.59 bilion) dalam kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Hakim Noor Ruwena Md Nurdin membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan pihak pembelaan dan pendakwaan berhubung permohonan berkenaan.

Encik Najib, 73 tahun, sebelum ini memohon supaya Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menangguhkan pelaksanaan hukuman, sementara menunggu rayuan terhadap sabitan dan hukuman diputuskan di Mahkamah Rayuan.

Ketika membacakan keputusan itu, Hakim Noor Ruwena berkata pemohon gagal memenuhi keadaan khas dan luar biasa bagi membolehkan penangguhan diberikan.

“Pemohon tidak lagi boleh dianggap sebagai pesalah kali pertama selepas sabitannya dalam kes SRC International dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Pada 26 Disember 2025 lalu, bekas Presiden Umno itu didapati bersalah atas empat tuduhan menggunakan kedudukan untuk memperoleh suapan dan 21 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.3 bilion.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion bagi tuduhan menggunakan kedudukan, selain penalti bagi tuduhan pengubahan wang haram yang menjadikan jumlah keseluruhan denda dipertikaikan dalam permohonan itu kira-kira RM13.47 bilion.

Hukuman penjara bagi kes 1MDB itu diperintahkan bermula selepas Encik Najib selesai menjalani hukuman bagi kes SRC International.

Permohonan untuk menggantung pelaksanaan hukuman itu, difahamkan mempunyai kaitan dengan kebenaran perintah tahanan rumah untuk Encik Najib yang dipersetujui oleh Yang di-Pertuan Agong Malaysia, Sultan Ibrahim.

Pada 18 September lalu, Sultan Ibrahim bersetuju memberikan pengampunan bersyarat kepada Encik Najib untuk menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Bagaimanapun, ia tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta serta syarat yang ditetapkan.