Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gagal bayar saman: Hampir 2j pengguna jalan raya bakal disenarai hitam

Sep 30, 2025 | 10:10 AM
JPJ, disenaraihitam, Malaysia
Pengarah Kanan Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan. - Foto BERNAMA

KOTA BHARU: Hampir dua juta pengguna jalan raya bakal disenarai hitam oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia susulan kegagalan menjelaskan saman tertunggak atas pelbagai kesalahan lalu lintas.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan, berkata kesalahan itu membabitkan saman Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas) (Saman 53A), Notis Temu Siasat (114) dan Notis Saman Tampal/JPJ(P)23 (115).

Selain berisiko disenarai hitam, kompaun yang dikenakan juga akan dinaikkan kepada RM300 ($91.86) selain berhadapan pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya.

“Justeru, mereka yang memiliki saman terbabit seharusnya mengambil peluang membuat pembayaran melalui tawaran kompaun khas dengan kadar rata RM150 bagi tiga kesalahan yang dilancarkan pada awal Januari lalu hingga akhir Disember ini.

“Mengikut laporan statistik bermula Januari sehingga semalam (29 September), lebih 1.45 juta saman membabitkan Notis saman Awas diikuti notis 114 sejumlah 296,684 dan notis 115 iaitu sebanyak 164,598.

“Ada antara saman yang dikenal pasti adalah notis yang dikenakan sejak lebih 15 tahun lalu dan JPJ masih membuka peluang kepada pengguna jalan raya untuk menjelaskan saman tertunggak bagi mengelak nama mereka disenarai hitam,” katanya dalam sidang media selepas Ops Khas Gempur Perdagangan di Akademi JPJ Wilayah Timur, di sini, pada malam 29 September.

Datuk Muhammad Kifli turut berkongsi lokasi yang mencatat saman tertinggi membabitkan notis Awas iaitu di Terowong Menora, Ipoh, yang boleh mencecah 3,000 saman sehari.

“Jumlah saman itu hasil daripada dua kamera yang dipasang dan kesalahan yang direkodkan banyak dilakukan pengguna jalan raya ketika musim perayaan atau cuti sekolah yang menggunakan laluan berkenaan untuk menghala ke utara atau selatan.

“Selain itu, tiga negeri yang mencatat notis saman tertinggi adalah Selangor, Perak dan Johor yang mana rekod terbabit juga bergantung kepada jumlah pemasangan kamera Awas di setiap negeri,” katanya.

Menurutnya, orang ramai dinasihatkan supaya mengambil peluang membayar saman dengan diskaun 50 peratus melalui tawaran kompaun khas dengan kadar rata RM150 oleh JPJ sebelum tindakan lebih tegas dikenakan selepas ini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg