KUALA LUMPUR: Penuntut sebuah universiti awam di Malaysia didenda RM10,000 ($3,053) oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 25 September, atas tuduhan menghasilkan serta memulakan penghantaran komunikasi berunsur lucah dalam bentuk video melalui akaun media sosial X miliknya.
Hakim Suhaila Haron menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Aidil Akmal Azhar, 24 tahu, selepas dia mengaku bersalah sebaik tuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mahkamah juga menetapkan hukuman penjara tambahan empat bulan lagi sekiranya Muhammad Aidil gagal membayar denda.
Mengikut tuduhan, lelaki itu didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi berbentuk video lucah dengan niat untuk mengganggu orang lain, dengan menggunakan perkhidmatan aplikasi X pada 10.45 malam, 1 Mac 2024 di Shah Alam, Selangor.
Hantaran itu dilihat di sebuah kondominium di Kuala Lumpur pada 11 pagi, 4 April 2024, yang mana kesalahan didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Encik Fadhli Ab Wahab, memohon supaya mahkamah mengenakan hukuman setimpal kepada OKS (Orang Kena Saman), mengambil kira kesan kandungan lucah di media sosial terhadap negara amat serius.
“Generasi muda pula menjadi kumpulan paling terkesan kerana mudah terdedah kepada media sosial. Jika dibiarkan, hal ini akan melahirkan generasi yang lemah dari segi akhlak, kurang daya tahan moral dan hilang fokus.
“Mahkamah juga boleh mengambil maklum bahawa terdapat peningkatan ketara dalam kes penghantaran komunikasi lucah di media sosial,” katanya, lapor Harian Metro.
Peguam Cik Nurshah Kamarudin yang mewakili tertuduh pula memohon hukuman rendah atas alasan anak guamnya tidak mempunyai kesalahan lampau, selain dia sudah menyesal dengan perbuatannya itu dan insaf serta berjanji tidak akan mengulanginya lagi.
Sementara itu, dalam kes berasingan di Balik Pulau, Pulau Pinang, seorang tukang masak yang ditahan selepas aksinya mengajak seorang wanita melakukan hubungan seks dirakam dalam video, didenda RM6,500 oleh Mahkamah Majistret Balik Pulau pada 25 September.
Muhammad Amirulhakim Suhaimi, 30 tahun, mengaku bersalah selepas tuduhan dibacakan di hadapan Majistret Chia Huey Ting.
Dia dituduh melakukan perbuatan bermaksud hendak mengaibkan kehormatan seorang wanita dengan mengajaknya melakukan hubungan seks dan perbuatan berkenaan telah mengganggu kehormatan wanita terbabit.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg