Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gagal lunas hutang RM1j: Barangan RM100,000 pelakon Che Ta disita

Dec 11, 2024 | 12:58 PM
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, mengulas berhubung pelakon Malaysia, Rozita Che Wan atau Che Ta, 51 tahun, yang gagal membayar pinjaman Mara bernilai hampir RM1 juta.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, mengulas berhubung pelakon Malaysia, Rozita Che Wan atau Che Ta, 51 tahun, yang gagal membayar pinjaman Mara bernilai hampir RM1 juta. - Foto fail

KUALA LUMPUR: Malaysia sekali lagi dikejutkan dengan isu kegagalan selebriti melunaskan hutang dan kali ini melibatkan pelakon sohor, Rozita Che Wan atau lebih dikenali sebagai Che Ta.

Kediaman pelakon berusia 51 tahun itu di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor, diserbu pegawai Majlis Amanah Rakyat (Mara) pada 10 Disember bersama peguam dan wakil mahkamah berikutan kegagalannya melunaskan pinjaman bernilai hampir RM1 juta ($300,000).

Beberapa barangan peribadi milik usahawan itu bernilai hampir RM100,000 disita oleh pihak mahkamah dalam serbuan itu, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Menurut peguam yang enggan namanya didedahkan, pihaknya turut menyerahkan writ kepada ibu Rozita berikutan pelakon itu tidak berada di rumahnya ketika serbuan dilakukan.

“Ini kehadiran kali kedua ke rumah Rozita. Kami pernah hadir kali pertama pada November lalu tetapi tidak mendapat kerjasama. Jadi, kali ini kami dapat perintah mahkamah untuk masuk,” katanya.

Berita keengganan Rozita menjelaskan hutang pinjaman hampir RM1 juta itu mengundang pelbagai reaksi dan komen masyarakat terutama di media sosial yang rata-rata menyuarakan kemarahan terhadap pelakon itu yang sering mempamer kemewahan.

Rozita didakwa membuat pinjaman sejak 2017, namun dikatakan tidak pernah membayar pinjaman sejak tujuh tahun lalu.

Walaupun terpalit kontroversi liat melunaskan hutang, Rozita dilihat ligat berniaga menerusi wadah TikTok pada 10 Disember malam, namun mengelak apabila digasak pertanyaan oleh netizen mengenai persoalan hutangnya dengan Mara.

Sementara itu, Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata pinjaman Mara membabitkan wang rakyat yang perlu dibayar kerana peminjam sudah menandatangani perjanjian.

Beliau berkata tindakan tegas perlu dikenakan terhadap pihak yang sengaja enggan membayar pinjaman sedangkan mereka berkemampuan dan hidup mewah.

“Ini wang rakyat, bukan wang saya. Culas bayar sedangkan akad atau kontrak yang dimeterai adalah pinjaman, bukan sedekah. Apatah lagi jika sengaja tidak mahu bayar sedangkan berkemampuan dan hidup mewah.

“Hutang wajib dibayar. Usah merayu kepada saya kerana bukan hak saya untuk melupuskan hutang. Saya menjaga amanah wang rakyat di bawah Mara, bakal dipersoalkan Allah kelak!” kata Datuk Asyraf Wajdi dalam hantaran di Facebook.

Datuk Asyraf Wajdi berkata membawa kes itu ke peringkat perundangan dan mahkamah adalah tindakan terakhir yang harus diambil bagi memastikan setiap sen wang rakyat dipulangkan.

Baru-baru ini Malaysia digegarkan isu serupa membabitkan usahawan kontroversi, Datuk Seri Vida atau nama sebenarnya Hasmiza Othman.

Kediaman serta empat kenderaan milik usahawan Datuk Vida disita selepas beliau gagal melangsaikan hutang kontraktor lebih RM1 juta.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg