SUNGAI SIPUT (Perak): Sekumpulan gajah liar memasuki ke sebuah sekolah luar bandar di Perak, Malaysia, menyebabkan kerosakan pada bangunan dan kemudahan sekolah.
Kejadian berlaku pada 2 pagi 8 Jun di Sekolah Kebangsaan Pos Perwor dekat Lasah, kira-kira 70 kilometer dari ibu kota, Ipoh.
Gajah itu merosakkan tingkap dan jeriji bilik darjah serta dapur, manakala pasu bunga, pokok pisang dan kelapa di kawasan sekitar turut musnah.
Akhbar Sinar Harian melaporkan enam ekor gajah memasuki pekarangan sekolah itu, memetik kenyataan dari pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (DWNP) Semenanjung Malaysia, Encik Yusoff Shariff.
Mujur, tiada sesiapa yang cedera dalam kejadian itu.
Encik Yusoff berkata beberapa anggota Unit Tindakan Gajah jabatan itu telah dikerahkan ke lokasi selepas menerima maklumat.
“Gajah-gajah itu dihalau pulang ke hutan. Mereka mungkin keluar untuk cari makanan,” katanya.
Insiden itu dikongsi oleh penolong pegawai pendidikan daerah Kuala Kangsar, Encik Mohd Rassidee Mohd Rasid, dalam satu catatan Facebook.
Encik Rassidee memberitahu Sinar Harian bahawa ini adalah kali kedua kejadian seumpama itu melibatkan sekolah yang sama dilaporkan tahun ini.
Kejadian pertama pada April lalu merosakkan pintu pagar belakang sekolah dan dinding bilik darjah.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg