Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gangguan pintu automatik belum diatasi di pusat pemeriksaan Johor

Jan 11, 2026 | 8:29 PM
Warga asing di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) terpaksa menunggu hingga dua jam untuk melepasi imigresen pada 10 Januari.
Warga asing di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) terpaksa menunggu hingga dua jam untuk melepasi imigresen pada 10 Januari. - Foto THE STAR/ASIA NEWS NETWORK

Warga asing dinasihatkan supaya terus menggunakan aplikasi Sistem Imigresen Bersepadu Kebangsaan (NIISe) dan kaunter manual kerana masalah melibatkan pintu automatik di pusat pemeriksaan darat Malaysia dengan Singapura masih belum dapat diatasi, kata Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) pada 11 Januari.

Menerusi laman Facebook, AKPS berkata pintu elektronik di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) masih terjejas oleh masalah teknikal yang bermula pada 10 Januari.

Ia menambah bahawa rakyat Malaysia tidak terjejas kerana isu ini melibatkan orang ramai yang memegang pasport asing sahaja.

“Orang ramai dimaklumkan bahawa gangguan sistem pintu elektronik masih berulang dan status operasi kekal tidak berubah, hanya melibatkan pemegang pasport asing,” menurut catatan itu.

Agensi itu berkata pemegang pasport asing boleh menggunakan pintu elektronik di lokasi seperti dewan bas untuk masuk dan keluar.

Tambahnya, pihaknya sedang bekerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia untuk menjalankan kerja memperbaiki sistem dan sedang memantau keadaan dengan teliti.

Pada 10 Januari, puluhan ribu warga asing dilaporkan terpaksa beratur panjang di dua pusat pemeriksaan darat Malaysia dengan Singapura susulan gangguan teknikal yang menyebabkan kebanyakan pintu automatik imigresen tergendala.

Yang paling teruk terjejas ialah CIQ BSI, dengan warga asing terpaksa menunggu hingga dua jam untuk melepasi imigresen.

Difahamkan bahawa sekurang-kurangnya 39 pintu automatik di pintu masuk dan 29 mesin di kawasan keluar dewan bas di BSI telah mengalami masalah selama beberapa hari, tetapi sistem itu rosak sepenuhnya pada 10 Januari disebabkan kemasukan bilangan warga asing yang besar pada hujung minggu.

Pintu automatik di stesen kereta api KTM di BSI juga mengalami gangguan.

Bagaimanapun, situasi di CIQ Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) pula, yang mempunyai 12 pintu automatik lebih terkawal berbanding di BSI.

Pada Julai 2025, kejadian serupa berlaku, dengan masalah teknikal yang dialami pintu automatik di pusat pemeriksaan utama di seluruh Malaysia menjejas lebih 380,000 warga asing.

Isu gangguan sistem pintu automatik ketika itu berpunca daripada gangguan penyepaduan data antara Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) dengan pangkalan data keselamatan sebuah agensi penguat kuasa antarabangsa yang menyebabkan proses semakan silang menjadi perlahan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg