JOHOR BAHRU: Gelombang biru kembali melanda Johor apabila Barisan Nasional (BN) memenangi 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus memperoleh mandat lebih besar untuk terus mentadbir negeri itu bagi penggal akan datang.

Kemenangan itu menyaksikan BN memperbaiki pencapaiannya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022 apabila gabungan itu memenangi 40 kerusi DUN.

Pakatan Harapan (PH) pula hanya berjaya mempertahankan lapan kerusi, iaitu Senai, Skudai, Puteri Wangsa, Mengkibol, Simpang Jeram, Penggaram, Bentayan dan Stulang.

Sementara itu, Perikatan Nasional (PN), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Parti Bersama Malaysia (Bersama) serta semua calon Bebas gagal memenangi sebarang kerusi DUN.

Presiden Umno yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kemenangan itu membuktikan rakyat Johor terus memberikan kepercayaan kepada kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, serta prestasi pentadbiran kerajaan negeri sepanjang lebih empat tahun lalu.

“Saya bersyukur kepada Allah swt kerana Barisan Nasional telah melepasi 40 kerusi Dewan Undangan Negeri.

“Berbanding pilihan raya negeri yang lalu, kita memperoleh 40 kerusi dan kini, insya-Allah, kita memperoleh lebih daripada itu,” katanya ketika berucap di Bangunan Badan Perhubungan Umno Negeri Johor, Johor Bahru, pada 11 Julai.

Menurut Datuk Ahmad Zahid, kemenangan itu bukan alasan untuk bermegah, sebaliknya menjadi amanah lebih besar kepada BN untuk mentadbir Johor dengan lebih cemerlang.

“Kami tidak bermegah, kami insaf dan dengan rendah diri berjanji pentadbiran bagi penggal ini akan dilaksanakan dengan lebih baik serta segala aku janji akan dipenuhi sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri yang bakal dibentuk akan terus bekerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan pelaksanaan pelbagai agenda pembangunan dapat diteruskan demi manfaat rakyat Johor.

Beliau turut menyifatkan kemenangan BN di Johor sebagai pemangkin kepada parti itu untuk menghadapi pilihan raya negeri lain serta Pilihan Raya Umum akan datang.

Sementara itu, Datuk Onn Hafiz berkata mandat besar yang diberikan rakyat akan diterjemahkan kepada perkhidmatan lebih baik untuk semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum atau pegangan politik.

“Bagi pihak kepimpinan BN Johor, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh Bangsa Johor yang telah memberikan mandat yang begitu memberangsangkan.

“Ia memberikan kami semangat untuk terus berkhidmat, menyantuni rakyat dan menyelesaikan isu-isu rakyat dengan lebih baik lagi,” katanya.

Menurut beliau, kemenangan itu merupakan amanah untuk menjaga seluruh rakyat Johor.

“Bila kita sudah menang, tanggungjawab kita ialah menjaga seluruh Bangsa Johor. Sama ada mereka menyokong kita ataupun tidak, itu tidak penting.

“Kita akan menjaga semua bangsa, Melayu, Cina, India dan Orang Asli. Kita semua ialah Bangsa Johor,” katanya.

“Sama-sama kita rapatkan saf, kita buang yang keruh dan ambil yang jernih. Musim pilihan raya negeri Johor sudah berakhir.

“Sekarang tanggungjawab kita ialah membina Johor yang kita semua dambakan dan impikan bersama,” katanya.

Menurut keputusan rasmi SPR, seramai 1,874,918 pengundi, atau 68.73 peratus daripada keseluruhan pengundi berdaftar, keluar mengundi pada PRN Johor kali ini.

SPR turut memaklumkan proses pengundian berlangsung dengan lancar tanpa sebarang insiden yang menjejaskan perjalanan pilihan raya.