Topik diikuti
Pergi ke BHkuKemenangan BN di Johor boleh perkukuh keyakinan terhadap JS-SEZ
Kemenangan BN di Johor boleh perkukuh keyakinan terhadap JS-SEZ
Namun pengamat ingatkan isu gaji, kos hidup dan pekerjaan mahir tetap jadi ukuran rakyat
Kemenangan BN di Johor boleh perkukuh keyakinan terhadap JS-SEZ
Kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, jika berlaku, bukan sahaja akan dibaca sebagai kejayaan politik negeri itu, malah turut menjadi perhatian warga Singapura yang mengikuti rapat perkembangan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Bagi ramai pekerja, pelabur dan peniaga di kedua-dua belah Tambak Johor, kestabilan pentadbiran negeri dianggap penting kerana ia boleh mempengaruhi kelancaran pelaksanaan dasar, kemasukan pelaburan, peluang pekerjaan dan pembangunan kawasan sekitar Iskandar Malaysia.
Namun, beberapa penganalisis politik berpendapat kemenangan BN tidak boleh sekadar diukur melalui jumlah kerusi, sebaliknya perlu dilihat dari segi sejauh mana kerajaan negeri mampu menterjemahkan pembangunan besar kepada manfaat harian rakyat.
KERAJAAN STABIL, PEMBANGUNAN LANCAR
Penganalisis politik Universiti Malaysia Terengganu, Profesor Dr Mohd Izani Mohd Zain, berkata kemenangan BN akan dianggap sebagai pengesahan terhadap pendekatan pembangunan dan kestabilan yang dibawa kerajaan negeri.
“Melalui kaca mata BN, kemenangan ini akan diangkat sebagai satu bentuk pengesahan politik terhadap jenama kepimpinan negeri dan gagasan Maju Johor.
“Ia menunjukkan bahawa hujah pembangunan ekonomi, pelaburan dan persediaan bagi JS-SEZ berjaya menembusi pemikiran pengundi yang mengutamakan kemakmuran serta kestabilan,” kata beliau ketika dihubungi Berita Harian (BH).
Menurut Profesor Dr Mohd Izani, kemenangan BN juga boleh mengukuhkan keyakinan pelabur kerana pentadbiran negeri yang mempunyai sokongan besar dilihat lebih mampu menjamin dasar jangka panjang.
Beliau berkata pelabur memerlukan kepastian dasar berkaitan cukai, tanah, kemudahan perniagaan dan kelulusan projek tidak berubah di tengah jalan.
“Kerajaan yang kuat dapat menghapuskan risiko pentadbiran rapuh yang mudah ditekan oleh blok kecil dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Bagi projek besar seperti JS-SEZ, kestabilan ini penting kerana pelabur mahu melihat jaminan undang-undang dan dasar yang boleh bertahan untuk tempoh 10 hingga 20 tahun,” katanya.
Namun, beliau mengingatkan bahawa pembangunan besar seperti pusat pemprosesan maklumat, hab perusahaan dan kawasan perdagangan bebas tidak semestinya segera dirasai rakyat biasa.
Menurut beliau, penduduk bandar terutama golongan muda dan kelas pertengahan mahu melihat kesan langsung kepada kuasa beli, harga rumah, peluang kerja serta kos sara hidup.
“Jika BN menang besar di luar bandar tetapi tewas di kerusi bandar dan kawasan campuran, itu satu amaran bahawa pembangunan ekonomi berskala besar sahaja belum cukup.
“Pengundi bandar menilai ekonomi bukan semata-mata daripada jumlah pelaburan asing, tetapi daripada apa yang mereka rasa dalam kehidupan harian,” katanya.
LIMPAHAN EKONOMI SINGAPURA DAN KEHIDUPAN LEBIH BAIK
Pensyarah kanan Jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam dan Pengajian Pembangunan Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub, berkata kemenangan BN boleh dianggap sebagai mandat bersyarat kepada kesinambungan pentadbiran negeri.
Beliau berkata keputusan itu tidak boleh dilihat hanya sebagai tanda pembangkang lemah, tetapi juga sebagai pengiktirafan bahawa pengundi masih memberi ruang kepada agenda kestabilan, pelaburan dan pentadbiran berterusan.
“Jika BN menang besar atau memperoleh majoriti dua pertiga, ia boleh meningkatkan keyakinan pelabur kerana kerajaan negeri dilihat mempunyai mandat politik yang jelas.
“Namun, keyakinan pelabur terhadap JS-SEZ tidak hanya bergantung kepada jumlah kerusi, tetapi kepada keupayaan mempercepat kelulusan projek, menyelaras agensi dan memastikan dasar tidak berubah-ubah,” katanya.
Dr Mohammad Tawfik berkata hasil paling nyata yang patut dijangka rakyat bukan sekadar bangunan baharu atau kawasan perusahaan, tetapi pertambahan pekerjaan mahir dan pendapatan lebih baik.
Beliau berkata Johor mencatat jumlah pelaburan yang besar, namun ukuran sebenar kejayaan ialah sama ada pelaburan itu mampu meningkatkan gaji, membuka peluang kerja bermutu dan mengurangkan tekanan kos hidup.
“Pada asasnya, JS-SEZ berpotensi mengurangkan penghijrahan bakat Johor ke Singapura.
“Tetapi perkara itu tidak akan berlaku secara sendiri selagi jurang gaji dan nilai mata wang Singapura masih tinggi.
“JS-SEZ hanya boleh menjadi pengubah keadaan jika pekerjaan yang diwujudkan benar-benar bergaji setanding, bermutu dan menawarkan kehidupan lebih seimbang di Johor,” katanya.
Dekan Ghazalie Shafie Graduate School of Government, Universiti Utara Malaysia, Profesor Dr Rusdi Omar, pula berpandangan tiada halangan besar untuk BN mengekalkan kuasa di Johor.
Beliau berkata kesinambungan dasar negeri akan membantu pelaksanaan JS-SEZ berjalan seperti biasa, terutama kerana projek itu penting kepada ekonomi Johor, Malaysia dan Singapura.
“Saya melihat tiada halangan besar untuk BN mengekalkan kuasa pemerintahan mereka di Johor.
“Kesinambungan dasar negeri dan pelaksanaan JS-SEZ akan berjalan seperti biasa.
“Projek ini penting untuk kedua-dua negara kerana ia boleh mewujudkan peluang pekerjaan dan merancakkan pembangunan ekonomi di kawasan sekitar,” katanya.
Profesor Dr Rusdi berkata kawasan Iskandar Malaysia dan sekitarnya berpotensi terus menarik pelaburan asing, termasuk dari Singapura, sekiranya kestabilan dasar dikekalkan.
Namun beliau berkata kesan terhadap pekerja Johor yang mencari rezeki di Singapura hanya boleh dinilai selepas beberapa tahun pelaksanaan JS-SEZ matang.
“Keputusan pilihan raya sahaja tidak akan mengubah corak penghijrahan tenaga kerja rentas sempadan yang sudah lama wujud.
“Selagi perbezaan gaji dan nilai mata wang kekal besar, Singapura akan terus menjadi pilihan ramai pekerja Johor,” katanya.
JS-SEZ KAYU UKUR KEJAYAAN
Pensyarah kanan Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Aviation Technology, Dr Ab Bassit Husain, berkata apa juga keputusan PRN Johor, pelaksanaan JS-SEZ dijangka tetap diteruskan kerana projek itu mempunyai kepentingan ekonomi yang jauh melangkaui batas politik kepartian.
Beliau berkata JS-SEZ bukan hanya agenda kerajaan negeri, sebaliknya turut membabitkan dasar nasional, hubungan dua hala Malaysia-Singapura serta kepentingan pelaburan jangka panjang yang boleh memberi kesan besar kepada ekonomi negara.
“Jika BN menang, pelaksanaan dasar negeri dan JS-SEZ perlu terus diberi perhatian oleh Kerajaan Persekutuan demi pembangunan ekonomi negara secara keseluruhannya, terutama kerana Johor mempunyai kedudukan strategik yang sangat penting,” katanya.
Menurut Dr Ab Bassit, dalam konteks hubungan antara negeri dengan Persekutuan, beliau tidak melihat Kerajaan Persekutuan akan mengambil pendekatan yang boleh menjejaskan pembangunan Johor sekiranya BN terus memerintah negeri itu.
Beliau berkata projek seperti JS-SEZ memerlukan kerjasama rapat antara Kota Iskandar, Putrajaya dan Singapura, terutama dalam perkara berkaitan pelaburan, percukaian, imigresen, prasarana dan kemudahan perniagaan.
“Dalam konteks persekutuan, saya tidak nampak bahawa Kerajaan Persekutuan akan mengambil tindakan yang tidak wajar sekiranya BN menang pilihan raya.
“Keperluan kepada pembangunan ekonomi yang pesat dan mampan merentasi kepentingan politik. Kerajaan Persekutuan pastinya mahu memastikan pembangunan ekonomi yang memberi manfaat kepada Malaysia dan Singapura terus berjalan,” katanya.
Namun, Dr Ab Bassit berkata kemenangan BN tidak boleh dijadikan alasan untuk kerajaan negeri terlalu selesa, terutama jika jumlah kerusi yang dimenangi berkurangan berbanding pilihan raya lalu.
Beliau berkata keadaan itu boleh menjadi isyarat bahawa sokongan terhadap BN di Johor tidak lagi sekukuh dahulu, sekali gus menuntut perubahan dalam cara parti itu mendekati rakyat.
Beliau berkata PRN Johor juga menjadi pentas penting untuk BN menilai sama ada strategi bergerak sendiri masih sesuai, atau parti itu perlu menimbang semula bentuk kerja sama politik yang lebih luas pada masa depan.
Dr Ab Bassit turut menegaskan bahawa tumpuan terhadap JS-SEZ tidak harus menyebabkan isu rakyat di luar bandar diketepikan.
Beliau berkata tinjauan di beberapa kawasan menunjukkan masih wujud keresahan berkaitan peluang pekerjaan, pembangunan ekonomi setempat dan kemudahan asas, terutama di daerah luar bandar yang tidak semestinya mendapat kesan segera daripada pembangunan di koridor JS-SEZ.
“Projek itu memang boleh memberi kesan besar kepada ekonomi Johor, tetapi rakyat juga mahu melihat penyelesaian kepada isu harian seperti pekerjaan, pembangunan daerah dan kemudahan asas,” katanya.
Bagi warga Singapura, keputusan politik Johor bukan sekadar cerita pilihan raya di seberang Tambak.
Ia turut berkait dengan kelancaran pelaburan, peluang niaga, perjalanan rentas sempadan, pembangunan kawasan selatan Johor dan masa depan ribuan pekerja yang setiap hari berulang-alik antara Johor Bahru dengan Singapura.
Justeru, siapa pun yang membentuk kerajaan negeri selepas PRN Johor, tumpuan utama rakyat dan pelabur kekal sama; kestabilan dasar, kecekapan pentadbiran dan kemampuan JS-SEZ membawa manfaat nyata kepada kehidupan harian.
“
“Melalui kaca mata BN (Barisan Nasional), kemenangan ini akan diangkat sebagai satu bentuk pengesahan politik terhadap jenama kepimpinan negeri dan gagasan Maju Johor. Ia menunjukkan bahawa hujah pembangunan ekonomi, pelaburan dan persediaan bagi JS-SEZ (Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura) berjaya menembusi pemikiran pengundi yang mengutamakan kemakmuran serta kestabilan.”“
“Pada asasnya, JS-SEZ (Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura) berpotensi mengurangkan penghijrahan bakat Johor ke Singapura. Tetapi perkara itu tidak akan berlaku secara sendiri selagi jurang gaji dan nilai mata wang Singapura masih tinggi. JS-SEZ hanya boleh menjadi pengubah keadaan jika pekerjaan yang diwujudkan benar-benar bergaji setanding, bermutu dan menawarkan kehidupan lebih seimbang di Johor.”“
“Keputusan pilihan raya sahaja tidak akan mengubah corak penghijrahan tenaga kerja rentas sempadan yang sudah lama wujud. Selagi perbezaan gaji dan nilai mata wang kekal besar, Singapura akan terus menjadi pilihan ramai pekerja Johor.”