Topik diikuti
Pergi ke BHkuGelombang biru landa Johor, BN menang 48 daripada 56 kerusi DUN
Gelombang biru landa Johor, BN menang 48 daripada 56 kerusi DUN
Zahid sifatkan kemenangan bukti keyakinan rakyat, Onn Hafiz ikrar tadbir untuk seluruh Bangsa Johor
Gelombang biru landa Johor, BN menang 48 daripada 56 kerusi DUN
JOHOR BAHRU: Gelombang biru kembali melanda Johor apabila Barisan Nasional (BN) memenangi 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan berdasarkan keputusan tidak rasmi, sekali gus memperoleh mandat lebih besar untuk terus mentadbir negeri itu bagi penggal akan datang.
Kemenangan itu turut menyaksikan BN memperbaiki pencapaian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022 apabila parti berkenaan memenangi 40 kerusi DUN.
Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kemenangan berkenaan membuktikan rakyat Johor terus memberikan kepercayaan kepada kepimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, serta pentadbiran kerajaan negeri sepanjang lebih empat tahun lalu.
“Saya bersyukur kepada Allah SWT kerana berdasarkan keputusan tidak rasmi yang diterima, Barisan Nasional telah melepasi kemenangan lebih 40 kerusi Dewan Undangan Negeri.
“Berbanding pilihan raya negeri yang lalu, kita memperoleh 40 kerusi dan kini insya-Allah kita memperoleh lebih daripada itu,” katanya ketika berucap di Pusat Media BN malam ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat Johor, jentera BN, parti-parti komponen, Friends of BN, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sukarelawan serta semua pihak yang bertungkus-lumus sepanjang tempoh kempen.
Menurut Datuk Ahmad Zahid, kemenangan itu bukan alasan untuk bermegah, sebaliknya menjadi amanah lebih besar kepada BN untuk mentadbir negeri dengan lebih berkesan.
“Kami tidak bermegah, kami insaf dan dengan rendah diri berjanji pentadbiran bagi penggal ini akan dilaksanakan dengan lebih baik serta segala aku janji akan dipenuhi sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri yang bakal dibentuk akan terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan pelaksanaan pelbagai projek pembangunan dapat dipercepatkan demi manfaat rakyat Johor.
Datuk Ahmad Zahid turut mengajak seluruh rakyat mengetepikan perbezaan politik selepas tamat pilihan raya.
“Marilah seluruh Bangsa Johor kembali bertaut dan berpadu. Ketepikan perbezaan politik supaya Johor menjadi negeri paling maju di Malaysia menjelang tahun 2030,” katanya.
Beliau turut menyifatkan kemenangan BN di Johor sebagai suntikan semangat untuk menghadapi pilihan raya negeri lain serta Pilihan Raya Umum akan datang.
Sementara itu, Datuk Onn Hafiz menyifatkan kemenangan tersebut sebagai mandat besar yang perlu diterjemahkan kepada perkhidmatan lebih baik untuk seluruh rakyat tanpa mengira kaum atau fahaman politik.
“Bagi pihak kepimpinan Barisan Nasional Johor, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh Bangsa Johor yang telah memberikan mandat yang begitu memberangsangkan.
“Ia memberikan kami semangat untuk terus berkhidmat, menyantuni rakyat dan menyelesaikan isu-isu rakyat dengan lebih baik lagi,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pucuk pimpinan BN, parti-parti komponen termasuk MCA dan MIC, Friends of BN, negeri-negeri angkat serta seluruh jentera akar umbi yang bekerja sepanjang kempen.
Menurut beliau, kemenangan itu bukan hanya untuk penyokong BN, malah merupakan amanah untuk menjaga kebajikan seluruh rakyat Johor.
“Bila kita sudah menang, tanggungjawab kita ialah menjaga seluruh Bangsa Johor. Sama ada mereka menyokong kita ataupun tidak, itu tidak penting.
“Kita akan menjaga semua bangsa, Melayu, Cina, India dan Orang Asli. Kita semua ialah Bangsa Johor,” katanya.
Datuk Onn Hafiz berkata kini tiba masanya seluruh rakyat berganding bahu membangunkan negeri selepas berakhirnya persaingan politik.
“Musim pilihan raya negeri Johor sudah berakhir. Sekarang tanggungjawab kita ialah membina Johor yang kita semua dambakan dan impikan bersama,” katanya.
