Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18

‘Geng Subuh macam Jumaat’ kian jadi fenomena

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Malaysia
41333
0

NOTA DARI KL

‘Geng Subuh macam Jumaat’ kian jadi fenomena

Jan 28, 2024 | 05:31 AM



Usaha penyanyi Alif Satar mencetuskan kempen solat subuh berjemaah di masjid kian menjadi fenomena di Malaysia.

Malah lebih menarik ia turut menjadi ikutan di beberapa negara termasuk Singapura, iaitu negara jiran terdekat.

Dengan tanda pagar #gengsubuhmacamjumaat, kempen solat subuh berjemaah di masjid sejak awal Disember 2023 telah menarik ribuan warga di kededua negara untuk menyahut seruan murni itu.

Usaha pelakon dan pengacara berbakat besar itu mendapat pujian ramai pihak termasuk pemimpin negara, ulama, malah ibu bapa yang menyifatkan Alif melakukan satu anjakan luar biasa dan menyuntik perubahan terhadap anak muda masa kini.

Menurut Alif, kesedaran untuk menunaikan solat subuh berjemaah di masjid tercetus selepas beliau mendengar ceramah ustaz ketika menghadiri kelas agama, mengenai kelebihan memaknai subuh di masjid.

Apa yang menarik perhatian dalam kempen tersebut, setiap kali usai subuh di masjid, jemaah akan meneruskan kegiatan sihat seperti senaman, larian, malah ada yang mengimarahkan masjid dengan pelbagai kegiatan seperti membaca al-Quran, sarapan bersama dan gotong-royong membersihkan masjid.

Bagi Alif, tidak guna beliau memiliki jutaan pengikut di media sosial jika tidak memanfaatkannya ke arah kebaikan.

“Mulanya saya hanya melakukannya untuk merubah diri sendiri, tetapi terpanggil untuk kongsi di media sosial tanpa ada niat menunjuk atau riyak. Cuma berharap dapat tarik sahabat lain untuk turut serta solat subuh di masjid.

“Alhamdulillah tidak sangka lama-kelamaan ia mendapat sambutan sangat baik. Alif berbesar hati kerana kempen ini tidak menular di Malaysia saja, tetapi juga di negara jiran terutama Singapura malah di Korea, Jepun dan beberapa negara lain.

“Paling buat Alif gembira apabila melihat ramai anak muda turut serta. Besar harapan Alif semoga ia dapat dijadikan amalan secara berterusan untuk setiap Muslim kerana banyak manfaat apabila kita memulakan hari dengan aktiviti berfaedah setiap pagi,” kata Alif di media sosialnya.

Ketika dihubungi Berita Minggu (BM), seorang imam muda masjid di Singapura berkata daya usaha murni yang dicetuskan Alif turut memberi kesan kepada anak muda Singapura, apabila Masjid Yusof Ishak di Woodlands padat dengan jemaah subuh.


Kata Encik Adyan Mohammed Raziff, situasi itu berbeza dengan keadaan sebelum ini dan kini paling kurang hampir 4,000 jemaah memenuhi ruang masjid untuk solat berjemaah.

Baginya, inisiatif digerakkan Alif luar biasa dan wajar dijadikan contoh apabila menggunakan kelebihan sebagai selebriti dan jumlah pengikut media sosial yang ramai untuk mengajak melakukan kebaikan.

“Secara peribadi saya menghormati beliau sebagai artis muda yang berwawasan. Beliau menggunakan kemasyhuran yang diberikan Allah untuk melakukan kebaikan.

“Harapan saya semoga semua Muslim tidak kira di mana jua akan mengambil inspirasi daripada inisiatif ini dan beristiqamah untuk menunaikan solat subuh di masjid. Niat ibadat kerana Allah dan jadikan ia satu kelaziman baru dalam hidup kita,” katanya kepada BM.

Seorang pempengaruh media sosial di Singapura, @_donjany turut terkesan dan mahu mencontohi usaha Alif untuk mengajak pengikutnya bersama-sama ke masjid pada setiap subuh.

“Saya nak ajak lebih ramai orang untuk lakukan perkara ini di Singapura. Kongsikan perkara ini di media sosial anda termasuk WhatsApp, Instagram dan sebagainya. Selepas solat, kita boleh lakukan aktiviti berjalan kaki di awal pagi,” katanya di laman sosial.

Di Johor, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, juga terkesima dengan sambutan ramai terhadap kempen #SemarakSubuhJohor di Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato’ Onn, Johor Bahru, apabila buat julung kalinya sejak didirikan pada 2015, solat subuh berjemaah di masjid itu terpaksa dilakukan dua kali.

Malah ruangan, kaki lima masjid turut dipenuhi lebih 12,000 jemaah yang hadir pada 20 Januari lalu.

Menerusi pengamatan penulis, inilah bukti kesan pengaruh media sosial dalam menyebarkan pelbagai maklumat secara terus kepada pengguna alam maya, terutama golongan muda.

Sebagaimana kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mohd Nai’m Mokhtar, Alif telah berjaya menggunakan pengaruhnya yang berstatus selebriti untuk membawa paradigma baru kepada orang ramai untuk aktiviti murni seumpamanya.

Inisiatif Alif itu membuatkan Kerajaan Madani terpanggil untuk memperhebatkan lagi kempen dan program seumpamanya, lantaran ia juga dapat memupuk disiplin hidup yang baik buat semua peringkat masyarakat.

Mentelah, sejak kecil kebanyakan kita sudah dididik bahawa setiap mereka yang berpagi-pagian pasti akan dipermudahkan urusan dan ia termasuklah bagi urusan mencari rezeki.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >