Perlumbaan berbasikal lasak, Bukit Selantai Gravity Race, kembali menggegarkan pentas sukan lasak Malaysia apabila edisi keenamnya pada 2025 mencatat penyertaan 150 peserta dari dalam dan luar negara, termasuk 30 pelumba Singapura.
Perlumbaan yang berlangsung di Bukit Selantai, Mersing, Johor, itu terkenal dengan laluan curam, selekoh tajam, turunan teknikal, serta pelbagai halangan yang menguji kawalan dan kemahiran pelumba menuruni cerun.
Acara itu mengangkat konsep perlumbaan ‘gravity’, iaitu saingan menuruni bukit dengan memanfaatkan tarikan graviti sebagai pendorong utama kelajuan, sekali gus menjadikannya sukan yang menuntut gabungan kepantasan, keseimbangan dan kemahiran teknikal.
Laluan di Bukit Selantai direka khusus untuk menguji keupayaan pelumba mengawal basikal di permukaan yang tidak rata, berbatu, berakar dan dalam keadaan tertentu boleh menjadi licin atau longgar mengikut cuaca.
Setiap peserta dilepaskan secara individu atau berkumpulan kecil dalam format perlumbaan berasaskan masa, yang mana mereka perlu menamatkan laluan dari puncak ke kaki bukit dalam tempoh terpantas.
Pengarah perlumbaan, Encik Nazir Amin, berkata penyertaan 2025 amat memberangsangkan dengan kehadiran peserta dari Filipina dan Amerika Syarikat, selain peningkatan ketara jumlah pelumba dari Singapura.
“Jumlah peserta dari Singapura tahun 2025 lebih dua kali ganda berbanding 2024. Pada 2024, kami menerima 80 penyertaan keseluruhan dengan 18 daripadanya dari Singapura, tetapi tahun 2025 jumlah keseluruhan meningkat kepada 150, dengan 30 peserta warga Singapura.
“Ini jelas membuktikan Bukit Selantai semakin mendapat perhatian dan pengiktirafan daripada atlet dan peminat sukan lasak di peringkat antarabangsa,” katanya.
Bukit Selantai, setinggi 134 meter dari aras laut, walaupun tidak sebesar gunung lain, menawarkan pemandangan mempesona Laut China Selatan.
Ia terletak berdekatan Gunung Arong yang kini ditutup kepada orang awam, serta tidak jauh dari Pulau Mawar, yang merupakan sebuah pulau kecil yang hanya boleh diakses ketika air surut.
Gabungan keindahan alam semula jadi dan suasana kampung di sekitar Pantai Air Papan menjadikan kawasan itu sesuai bukan sahaja untuk penggiat sukan, bahkan pelancong yang ingin merasai pengalaman berbeza.
Peserta muda dari Singapura, Encik Izzadnaff Abdul Qusyairi Abdul Manaf, 24 tahun, mula menunggang basikal sejak berusia tiga tahun dan mula memasuki pertandingan pada usia tujuh tahun hasil dorongan ibu bapanya yang turut meminati sukan berbasikal.
“Ini memang menjadi kegiatan keluarga kami. Setiap hujung minggu, kami akan berbasikal bersama dan jika ada pertandingan, kami sertai sekali. Dari situ, ia menjadi cara kami bercuti bersama.
“Saya pernah menyertai perlumbaan di Korea Selatan, hampir seluruh Malaysia, Indonesia, dan Thailand, malah bercadang bertanding di Filipina selepas ini.
“Pengalaman paling mencabar setakat ini adalah di Korea Selatan untuk Sukan Asia pada 2022, yang memerlukan persediaan selama setahun. Walaupun saya tidak menang, matlamat saya adalah meraih pengalaman,” katanya.
Bapanya, Encik Abdul Manaf Abdullah, atau lebih mesra dikenali sebagai ‘Abang Mann’, 61 tahun, berkata beliau mula berbasikal sejak 1971 sebelum beralih kepada motosikal dan kereta, namun kembali kepada sukan berbasikal selepas berkeluarga.
“Kalau main motor, keluarga tidak boleh turut serta, jadi saya kembali kepada basikal. Dari situ, saya mula mengajar anak-anak teknik yang betul. Acara seperti ini menjadi hari berlibur kami sekeluarga.
“Kalau keluarga lain bercuti dengan berjalan-jalan, kami bercuti dengan menyertai sukan lasak. Kami juga gemar melancong ke kawasan pedalaman seperti di Kelantan untuk merasai suasana kampung.
“Ini juga cara kami berjumpa sahabat dari negara lain, kerana pada hari biasa semua sibuk bekerja. Sekarang saya lebih kepada tunggangan santai bersama isteri, Cik Azizah Mohd Puteh, 54 tahun, sambil memberi sokongan kepada anak kami melalui pasukan Amaza,” katanya yang tinggal di Bedok, Singapura.
Naib Presiden pasukan Kota Singa, Encik Jagrnjeet Singh, 35 tahun, berkata Bukit Selantai adalah tempat beliau mula berbasikal empat tahun lalu, namun kali ini adalah kali pertama beliau mencuba laluan menurun bukit.
“2025 saya mahu mencabar diri dan memberi sokongan kepada peserta lain kerana di Singapura tiada laluan teknikal seperti ini.
“Sasaran saya adalah untuk berada di podium, tetapi cabaran utama adalah keadaan trek yang kering sejak beberapa hari lalu yang menjadikannya longgar, jadi kami perlu lebih berhati-hati,” katanya.
Peserta wanita dari pasukan Singapura MTBelles, Cik Liezel Tejero Ocampo, 34 tahun, pula memulakan minat berbasikal ketika tempoh sekatan pergerakan Covid-19 selepas diperkenalkan oleh rakan-rakan.
“Mereka meminjamkan saya basikal dan membawa saya ke Malaysia serta Indonesia untuk melihat perlumbaan yang mereka sertai. Lama-kelamaan saya mahu menyertainya sendiri.
“Ini kali pertama saya bertanding di Bukit Selantai, walaupun sudah empat tahun saya memberi sokongan kepada rakan di sini. Trek ini mencabar, tetapi indah. Sebagai pelumba, kita perlu bersedia sepenuhnya,” katanya yang baru membeli basikal baru bernilai kira-kira RM13,000 ($4,000) pada Jun lalu.
Encik Nurfurqaan Mohamed Yunos, 35 tahun, dari Jurong West, berkata beliau mula menyertai perlumbaan selepas sempadan dibuka pada 2022, dengan penyertaan pertamanya di Langkawi, Kedah, sebelum aktif dalam pelbagai acara termasuk Mersing Enduro Challenge, selain siri Asia di Nepal dan Korea Selatan.
“Sebelum ini saya aktif dalam sukan papan luncur jalanan, tetapi beralih kepada berbasikal selepas pengaruh rakan. Kini saya kerap berlatih di Taman Cabaran Putrajaya dan Bukit Kiara, Kuala Lumpur,” katanya yang sentiasa ditemani isterinya, Cik Wirda Hassan, 39 tahun, sebagai penyokong setia.
Bagi Cik Haryani Mohamad, 42 tahun, dari Woodlands, Bukit Selantai adalah trek paling mencabar di Malaysia.
“Kali pertama saya ke sini empat tahun lalu, saya tidak mampu menunggang langsung di laluan ini. Tetapi dengan azam dan latihan, hari ini saya mampu bersaing.
“Saya suka mencuba perkara baru seperti teknik lompatan, dan ingin melihat sejauh mana kemampuan diri saya,” katanya yang sudah empat tahun berturut-turut menyertai perlumbaan di Mersing, selain acara di Indonesia.
Peserta kategori junior, Haider Aariz Suhirman, 10 tahun, dari Sengkang, mula menunggang basikal sejak usia dua tahun dengan basikal tolak sebelum beralih kepada BMX dan kini basikal gunung.
Bapanya, Encik Suhirman Sulaiman, 40 tahun, berkata mereka sekeluarga kerap ke Bukit Selantai dan ini adalah kali keenam mereka hadir ke situ.
“Kami datang kerana laluan dan suasananya. Ia kompetitif tetapi pada masa sama mesra, di mana semua orang boleh berkawan tanpa mengira negara. Inilah yang saya mahu anak saya belajar,” katanya yang lebih gemar menunggang untuk keseronokan.
Perlumbaan Bukit Selantai Gravity bukan sekadar menguji keupayaan fizikal dan kemahiran teknikal pelumba, malah menjadi wadah mengeratkan hubungan antara penggiat sukan lasak dari pelbagai latar belakang.
Dengan keindahan alam semula jadi Mersing dan sokongan masyarakat setempat yang mesra, acara itu berpotensi besar untuk terus mengangkat nama Johor sebagai destinasi utama sukan lasak dan ekopelancongan bertaraf antarabangsa.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg