Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

16.9j pelancong lawat M’sia hingga Mei, naik 20% dari 2024, separuh warga S’pura

Jul 23, 2025 | 11:36 AM
Keindahan pulau peranginan yang memukau antara tarikan utama pelancong antarabangsa ke Malaysia.
Keindahan pulau peranginan yang memukau antara tarikan utama pelancong antarabangsa ke Malaysia. - Foto LAMAN WEB REEF CHECK MALAYSIA

KUALA LUMPUR: Malaysia mencatat kedatangan seramai 16.9 juta pelancong antarabangsa dari Januari hingga Mei 2025, meningkat 20 peratus berbanding tempoh sama pada 2024, menurut Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac).

Menerusi jawapan bertulis di Parlimen pada 21 Julai, Motac memaklumkan hampir separuh daripada jumlah itu membabitkan pelancong dari negara jiran, Singapura, yang merekodkan 8.34 juta ketibaan. Ini diikuti dengan Indonesia dengan 1.82 juta pelawat, China (1.81 juta) dan Thailand (1.06 juta).

Pasaran jarak jauh seperti Australia dan Britain turut menunjukkan pertumbuhan positif, masing-masing mencatatkan peningkatan ketibaan sebanyak 16.6 peratus dan 8.7 peratus berbanding 2024.

“Kenaikan ketara ini membuktikan keberkesanan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan kerajaan menerusi pendekatan strategik dan dasar progresif seperti pelan liberalisasi visa, serta sokongan dan insentif kepada pemain industri,” jelas Motac, lapor Berita Harian Malaysia (BHM) memetik laporan Reuters.

Malaysia sebelum ini mencatat lebih 25 juta pelancong antarabangsa sepanjang 2024, namun angka itu masih belum mencapai sasaran asal iaitu 27.3 juta.

Bagi 2026, Malaysia yang akan meraikan Tahun Melawat Malaysia (TMM) menyasarkan 47 juta ketibaan pelancong antarabangsa dengan memberi tumpuan kepada pasaran utama seperti Asia Tengah, Timur Tengah, Asia Tenggara, Eropah dan Oceania.

Sebelum ini BHM melaporkan, sebagai persediaan TMM 2026, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Landskap Negara (JLN) memperuntukkan RM3 juta ($910,00) bagi menjayakan projek pembangunan landskap hijau dan lestari di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan kawasan sekitarnya.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Encik Nga Kor Ming, berkata projek yang dijangka siap pada Disember 2025 itu akan menyajikan keindahan visual dan keselesaan kepada pelancong serta delegasi antarabangsa, sekali gus mewujudkan tanggapan pertama yang positif terhadap negara.

“Ia juga berperanan penting dalam memperkukuh imej dan identiti KLIA sebagai pintu masuk utama yang mencerminkan keunikan dan keharmonian Malaysia,” katanya.

Penganalisis sebelum ini berpandangan Malaysia berada dalam kedudukan baik untuk menarik lebih ramai pelancong, sekali gus merancakkan lagi aktiviti ekonomi negara itu.

Ahli Ekonomi Asean HSBC, Cik Yun Liu, berkata jika dilihat pada perangkaan yang ada, Malaysia dilihat mencatatkan pemulihan dalam sektor pelancongan yang memberangsangkan, terutama membabitkan jumlah pelancong dari China.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg