Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Guna lorong kecemasan punca gaduh guna tongkat di lebuh raya: Polis

Feb 11, 2024 | 1:24 PM
Tangkap layar video tular menunjukkan lelaki dipercayai warga asing (tengah) yang memandu Mitsubishi Lancer menggunakan tongkat kayu ketika bergaduh.
Tangkap layar video tular menunjukkan lelaki dipercayai warga asing (tengah) yang memandu Mitsubishi Lancer menggunakan tongkat kayu ketika bergaduh. - Foto TANGKAP LAYAR FACEBOOK SG ROAD VIGILANTE

MUAR: Polis sedang mengesan seorang lelaki warga asing yang dipercayai terbabit insiden pergaduhan menggunakan tongkat kayu di Kilometer 139.6 Lebuhraya Utara-Selatan, dekat Pagoh, pada 10 Februari.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata suspek yang memandu Mitsubishi Lancer dikehendaki bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, siasatan mendapati insiden jam 1.58 petang berpunca tindakan suspek menggunakan lorong kecemasan ketika lebuh raya terbabit mengalami kesesakan, lapor Berita Harian Online Malaysia.

“Sebelum kejadian, lelaki tempatan dalam perjalanan ke Kuala Lumpur sebelum ternampak Mitsubishi Lancer dipandu warga asing menggunakan laluan kecemasan.

“Lelaki tempatan itu menghalang kenderaannya, menyebabkan suspek tidak berpuas hati. Ini mengakibatkan berlaku pertengkaran mulut dan suspek turut mengetuk cermin kenderaan lelaki itu sebelum beredar,” katanya dalam kenyataan.

Raiz Mukhliz berkata, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 dan juga Seksyen 53 (1) Kaedah Lalulintas Jalan Raya 1959, selain boleh dihukum mengikut Seksyen 119 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Polis menasihati orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan keharmonian dan mengganggu ketenteraman awam,” katanya.

Terdahulu, satu laporan berhubung insiden pergaduhan itu dibuat di Balai Polis Pagoh, pada petang 10 Februari.

Ia susulan video tular memaparkan pergaduhan membabitkan pengguna jalan raya termasuk ada yang dilihat menggunakan tongkat kayu.

Dalam satu laporan sebelum ini, pemandu Mitsubishi itu dikatakan keluar dari kenderaan sambil membawa tongkat kayu dan memukul pemandu Toyota Innova.

Bagaimanapun, insiden itu dileraikan pengguna jalan raya lain yang kebetulan berada di lokasi. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg