Guru gunting tudung pelajar di Lahad Datu dipindahkan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Guru gunting tudung pelajar di Lahad Datu dipindahkan

Jan 19, 2026 | 1:42 PM

Guru gunting tudung pelajar di Lahad Datu dipindahkan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Guru, tudung, potong, dipindahkan
Gambar tular tudung pelajar yang dikatakan telah digunting oleh seorang guru. - Foto FACEBOOK INFO LAHAD DATU

KOTA KINABALU (Sabah): Guru yang didakwa menggunting tudung pelajar di sebuah sekolah menengah di Lahad Datu pada 16 Januari lalu telah dipindahkan.

Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin, memaklumkan tindakan ini diambil oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Lahad Datu.

“Guru tersebut telah memohon maaf kepada ibu bapa murid berkenaan dan PPD Lahad Datu mengambil tindakan menukarkan guru berkenaan ke sekolah lain manakala murid kekal di sekolah tersebut.

“Guru tersebut juga telah menggantikan tudung murid yang digunting,” katanya, lapor Sinar Harian pada 19 Januari.

Beliau mengulas isu tular seorang guru didakwa menggunting tudung pelajar atas alasan tidak labuh.

Sehubungan itu, Datuk Raisin menyeru agar guru sentiasa berhemah dalam tindakan dengan mempertimbangkan pelbagai faktor seperti kemampuan ibu bapa dalam menyediakan keperluan persekolahan anak-anak.

“Pada masa yang sama saya juga menasihatkan pelajar supaya sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan oleh pihak sekolah.

“Semua peraturan yang dilaksanakan berdasarkan garis panduan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang bertujuan untuk memberi kebaikan kepada murid.

“Saya juga berharap perkara ini tidak berlaku di sekolah lain,” tegasnya.

Pada 17 Januari, Sinar Harian melaporkan isu tular itu, susulan luahan rasa tidak puas hati sebahagian ibu bapa terhadap tindakan guru tersebut.

Berdasarkan hantaran yang tular, kejadian tersebut dikatakan berlaku pada 16 Januari iaitu hari kelima sesi persekolahan 2026 bermula.

Dakwaan dalam hantaran itu menyebut beberapa pelajar perempuan digunting tudung mereka kerana dikatakan tidak labuh.

Tindakan itu disifatkan memalukan dan memberi kesan emosi kepada pelajar terbabit.

Ibu bapa turut meluahkan kekecewaan, mendakwa tindakan itu bukan sahaja tidak wajar, malah dianggap merosakkan harta benda dan menyinggung perasaan pelajar.

Mereka berpandangan isu sebegini sepatutnya ditangani secara berhemah, seperti teguran atau surat amaran jika pelajar melakukan kesalahan dan bukannya dengan tindakan agresif seperti menggunting tudung.

Tinjauan di ruangan komen mendapati kebanyakan ibu bapa dan penjaga tidak bersetuju dengan tindakan tersebut yang disifatkan mengguris perasaan pelajar dan keluarga.

Selain itu, tindakan berkenaan juga dikatakan menambah beban kewangan ibu bapa, khususnya golongan kurang berkemampuan, yang terpaksa menyediakan semula tudung untuk anak-anak mereka.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg