Topik diikuti
Pergi ke BHkuGuterres ketua PBB pertama lawat Syria sejak sebelum perang 2011
Guterres ketua PBB pertama lawat Syria sejak sebelum perang 2011
Guterres ketua PBB pertama lawat Syria sejak sebelum perang 2011
BEIRUT: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Antonio Guterres, dijadualkan melawat Syria dalam rangka kunjungan sulung oleh ketua PBB sejak meletusnya perang hampir 14 tahun yang mengorbankan ratusan ribu orang dan menyebabkan berjuta-juta yang lain hilang tempat tinggal di negara itu.
Lawatan pada 25 Julai itu merupakan satu lagi peristiwa penting bagi Syria sejak pemberontak menggulingkan bekas Presiden Bashar al-Assad pada akhir 2024, menamatkan perang yang bermula pada 2011 dan menyaksikan peralihan kuasa yang dipimpin oleh golongan Islam.
Pada masa itu, Encik Guterres menyifatkan “penamatan pemerintahan diktator Syria” di bawah Presiden Assad sebagai membawa harapan untuk rantau berkenaan.
Beliau dijaduak bertemu Presiden Ahmed al-Sharaa, mantan ketua sekutu Al-Qaeda di Syria yang sehingga November 2025 berada di bawah sekatan berkaitan keganasan yang dikenakan oleh Majlis Keselamatan PBB.
Ketua PBB itu juga akan bertemu Menteri Luar Syria, Encik Asaad al-Shaibani, pegawai pemerintah dan wakil masyarakat sivil Syria, kata jurucakap PBB, Encik Stephane Dujarric.
Dalam pertemuan itu, Encik Guterres akan menggariskan bahawa negara itu mempunyai peluang “bukan sahaja untuk pulih daripada konflik, tetapi juga meletakkan asas untuk masa depan Syria yang lebih stabil, lebih inklusif dan lebih makmur untuk semua rakyat Syria,” kata Encik Dujarric.
Encik Guterres dijangka berada di Damsyik selama beberapa hari, tetapi jadual penuh lawatannya belum dikeluarkan oleh pejabatnya.
Lawatan beliau itu diadakan hanya beberapa minggu selepas dua bom meletup berhampiran sebuah hotel di Damsyik, tempat Presiden Perancis Encik Emmanuel Macron bermalam.
Lawatan Encik Macron itu adalah yang pertama oleh ketua negara Kesatuan Eropah sejak Presiden Assad digulingkan.
Pemerintah Encik Sharaa sedang berusaha membina semula hubungan dan ekonomi antarabangsa Syria selepas hampir 14 tahun perang dan beberapa dekad pengasingan di bawah pemerintahan keluarga Presiden Assad.
Peralihan ini telah dicemari oleh dua episod pertumpahan darah antara mazhab yang telah menguji ikrar berulang Presiden Sharaa untuk melindungi minoriti penganut agama di negaranya.– Reuters