Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hampir 1,500 kenderaan S’pura disaman kerana tiada VEP sah

Aug 4, 2025 | 9:08 AM
Pengarah Kanan Penguatkuasaan Undang-Undang Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia, Encik Muhammad Kifli Ma Hassan.
Pengarah Kanan Penguatkuasaan Undang-Undang Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia, Encik Muhammad Kifli Ma Hassan. - Foto BH oleh REMAR NORDIN

Sebanyak 1,489 saman telah dikeluarkan ke atas pemandu kenderaan berdaftar di Singapura yang tidak memiliki atau mengaktifkan Permit Masuk Kenderaan (VEP) sepanjang tempoh penguatkuasaan dari 1 Julai hingga 2 Ogos, ujar Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia.

Pengarah Kanan Penguatkuasaan Undang-Undang JPJ, Encik Muhammad Kifli Ma Hassan, berkata jumlah saman itu melibatkan kutipan kompaun sebanyak RM445,800 ($136,308) hasil operasi yang dijalankan di luar Kompleks Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) dan beberapa kawasan lain di sekitar bandar raya itu.

Menurutnya, pemeriksaan terhadap 14,379 kenderaan Singapura yang memasuki Malaysia mendapati hampir 90 peratus daripadanya telah memasang dan mengaktifkan tag Pengenalan Frekuensi Radio (RFID) bagi VEP.

“Untuk rekod, sehingga 31 Julai, sebanyak 277,930 tag RFID telah dikeluarkan kepada pemilik kenderaan Singapura melibatkan kenderaan persendirian individu dan syarikat.

“Namun masih terdapat pemandu yang memberi alasan mereka menyangka kerajaan Malaysia belum melaksanakan penguatkuasaan sepenuhnya dan hanya berada dalam peringkat advokasi atau memberikan nasihat,” katanya pada sidang media khas Ops Penguatkuasaan VEP di pintu keluar BSI, Johor Bahru, pada malam 3 Ogos.

Encik Muhammad Kifli menegaskan JPJ tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan jalan raya di bawah Seksyen 66H (7) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), yang mewajibkan semua kenderaan asing memiliki permit sah sebelum memasuki atau berada di Malaysia.

Beliau berkata kebanyakan pemandu Singapura yang dikenakan saman terus mengaktifkan tag RFID mereka selepas dikenakan tindakan.

Tiada kenderaan yang dikenakan saman dua kali dalam tempoh operasi itu.

Selain pemeriksaan di pintu masuk utama negara, operasi penguatkuasaan turut dilakukan di beberapa lokasi strategik termasuk Danga Bay, yang merupakan lokasi pendaftaran VEP, serta kawasan tumpuan lain di sekitar Johor Bahru yang sering menjadi laluan kenderaan Singapura.

Pengarah Kanan Penguatkuasaan Undang-Undang Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia, Encik Muhammad Kifli Ma Hassan (kiri), memberikan penjelasan kepada seorang pemandu warga Singapura pada Ops Penguatkuasaan VEP di pintu keluar Kompleks Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru.
Pengarah Kanan Penguatkuasaan Undang-Undang Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia, Encik Muhammad Kifli Ma Hassan (kiri), memberikan penjelasan kepada seorang pemandu warga Singapura pada Ops Penguatkuasaan VEP di pintu keluar Kompleks Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru. - Foto BH oleh REMAR NORDIN

“Langkah penguatkuasaan ini akan dilaksanakan secara berterusan bagi menjamin integriti sistem pengangkutan negara dan keselamatan pengguna jalan raya.

“Saya juga akan mengemukakan cadangan penambahbaikan kepada Menteri Pengangkutan untuk tahap seterusnya, termasuk pelaksanaan penguatkuasaan saman trafik secara lebih menyeluruh,” katanya.

Beliau sekali lagi mengingatkan semua pemilik kenderaan asing supaya segera mendaftar, memasang dan mengaktifkan tag RFID VEP bagi mengelakkan kesulitan ketika keluar masuk Malaysia.

Sementara itu, seorang warga Singapura yang ditemui Berita Harian (BH) ketika operasi berkenaan, Encik Tony Tang, 30 tahun, berkata beliau tidak dikenakan saman namun hanya diberikan peringatan untuk segera melengkapkan proses pendaftaran VEP.

“Saya sudah melakukan pendaftaran sejak awal tahun dan sekarang masih menunggu e-mel pengesahan... saya telah menghubungi pejabat pendaftaran di Danga Bay tetapi tiada maklum balas. Jadi saya akan ke sana,” katanya.

Bagi Encik Srithar Selvam, 43 tahun, pula beliau dikenakan saman RM300 selepas gagal mengaktifkan VEP walaupun sudah membuat pendaftaran.

“Saya betul-betul terlupa, saya sudah buat pendaftaran pada Jun dan semuanya berjalan dengan lancar tetapi disebabkan kesibukan bekerja, saya terlepas pandang,” kongsi warga Singapura itu.

Pada 4 Jun, Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke, mengumumkan bahawa pemilik kenderaan asing, termasuk rakyat Singapura, yang gagal mendaftar dan mengaktifkan VEP akan dikenakan saman mulai 1 Julai.

Kenderaan yang tidak memiliki VEP sah akan dikenakan tindakan saman RM300 dan pemiliknya diwajibkan membayar saman serta mendaftar VEP sebelum dibenarkan keluar dari Malaysia.

Ini khusus bagi pemilik kenderaan asing, termasuk pemandu Singapura, yang memasuki Malaysia dari kededua sempadan darat Malaysia-Singapura iaitu di Tambak Johor dan Linkedua.

Penguatkuasaan penuh VEP pada 1 Julai, kata Encik Loke, dilakukan selepas tempoh pelaksanaan secara berfasa sejak Oktober 2024.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg