Beberapa persatuan perniagaan dan peniaga Johor Bahru (JB) tampil merayu campur tangan kerajaan susulan pelaksanaan Permit Masuk Kenderaan (VEP) yang dikatakan telah menyebabkan kemerosotan mendadak dalam kehadiran pelanggan dari Singapura ke Johor Bahru sejak pelaksanaan VEP pada 1 Julai lalu.
Langkah penguatkuasaan permit VEP oleh pihak berkuasa Malaysia yang memerlukan semua kenderaan berdaftar asing dipasang dengan Pengenalan Frekuensi Radio (RFID) dilihat sebagai satu halangan kepada pelawat Singapura, sekali gus menjejas kelangsungan operasi perniagaan kecil dan sederhana di bandar ini.
Pengerusi Persatuan Peniaga Melayu Angsana, Tengku Ahmad Rosdi Tengku Abdullah, berkata ramai peniaga di Angsana JB, khususnya kedai pakaian, mengalami penurunan jualan sehingga 30 peratus dalam tempoh dua minggu pertama selepas VEP dikuatkuasakan.
“Realiti perniagaan di Johor Bahru ialah kami sangat bergantung kepada pelanggan dari Singapura.
“Walaupun pakaian bukan keperluan harian, masih ramai dari Singapura yang datang membeli.
“Ini yang membantu kami bertahan, terutama di luar musim perayaan,” katanya ketika dihubungi Berita Harian (BH).
Tengku Ahmad Rosdi berkata ramai pelawat Singapura kini memilih untuk tidak membawa kenderaan ke Johor kerana khuatir dikenakan saman akibat kegagalan mendaftar VEP tepat pada masa.
“Mereka rasa lebih baik duit itu dibelanjakan di negara sendiri daripada digunakan untuk bayar saman. Bagi saya, tempoh nasihat dan pendidikan mengenai VEP harus dilanjutkan.
“Gunakan media sosial, sediakan risalah dan kalau boleh, daftarkan terus mana-mana kenderaan asing yang belum berdaftar secara automatik,” katanya.
Pengerusi Biro Pemasaran dan Promosi Dewan Teraju Usahawan Bumiputera Johor, Datuk Redza Abd Malek, menyarankan agar kerajaan Johor mengambil langkah proaktif dalam mendekati pelawat Singapura menerusi kempen maklumat yang lebih tersusun.
“Ramai rakyat Singapura tidak tahu saluran untuk menyemak saman, memahami peraturan tempatan atau prosedur pendaftaran VEP. Tidak seperti kita yang masuk ke negara mereka, maklumat sudah tersedia di telefon,” katanya.
Beliau menyarankan agar kerajaan menyediakan satu pautan rasmi dan risalah bercetak yang menghimpunkan semua maklumat penting untuk diedarkan di pintu masuk sempadan dan lokasi tumpuan pelancong.
Datuk Redza juga menasihati usahawan Johor agar tidak hanya menunggu pelanggan dari luar untuk datang, sebaliknya membawa produk mereka ke pasaran Singapura menerusi ekspo dan kerjasama strategik.
“Kalau mereka tidak dapat datang ke sini, kita yang harus pergi ke sana (Singapura). Bina kerjasama dengan rakan niaga di sana untuk membuka peluang dua hala,” ujarnya.
Beliau turut menggesa media tempatan dan agensi promosi kerajaan memperkukuh kerjasama dengan rakan di Singapura untuk menghasilkan kandungan maklumat lebih mesra pelawat asing.
“Kita perlu ada peta maklumat yang mudah difahami – bukan sahaja dalam talian, tetapi juga risalah fizikal di kaunter masuk,” katanya.
“
“Realiti perniagaan di Johor Bahru ialah kami sangat bergantung kepada pelanggan dari Singapura. Walaupun pakaian bukan keperluan harian, masih ramai dari Singapura yang datang membeli. Ini yang membantu kami bertahan, terutama di luar musim perayaan.”“
“Ramai rakyat Singapura tidak tahu saluran untuk menyemak saman, memahami peraturan tempatan atau prosedur pendaftaran VEP (Permit Masuk Kenderaan). Tidak seperti kita yang masuk ke negara mereka, maklumat sudah tersedia di telefon.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg