JOHOR BAHRU: Rakyat Malaysia, khususnya golongan belia, diingatkan supaya tidak terpedaya dengan sindiket yang menawarkan wang segera untuk menyeludup e-rokok, atau vape, serta cecair vape ke Singapura.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Encik Ling Tian Soon, berkata mereka yang tertangkap akan berdepan dengan undang-undang ketat Singapura tanpa sebarang perlindungan.
“Seperti yang kita maklum, Johor merupakan negeri pertama di Malaysia yang melaksanakan larangan penuh terhadap penjualan vape, termasuk cecairnya, sejak 2016.
“Ini bermakna tiada pihak berkuasa tempatan yang mengeluarkan lesen untuk menjual produk berkenaan.
“Singapura juga melarang penggunaan e-rokok, malah adalah satu kesalahan untuk memiliki atau menghisapnya,” kata beliau ketika dihubungi The Star pada 15 September.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Yong Peng berkata dengan undang-undang ketat di kededua Johor dan Singapura, sindiket kini semakin terdesak.
“Ada sindiket yang menggunakan media sosial dan platform dagangan dalam talian untuk menjual produk ini bagi mengelak tindakan pihak berkuasa.
“Ada pula yang cuba memujuk belia untuk membawa masuk barangan seludup melalui Tambak Johor atau Linkedua dengan tawaran wang lumayan,” katanya.
Encik Ling mengingatkan orang ramai supaya berwaspada sekiranya didekati pihak yang cuba melibatkan mereka dalam kegiatan haram itu.
“Tiada istilah duit mudah. Jika tertangkap oleh pihak berkuasa Singapura, mereka sendiri yang akan menanggung akibat melanggar undang-undang,” tegas beliau.
Encik Ling menambah, kerajaan negeri Johor menyokong penuh langkah Kementerian Kesihatan (KKM) untuk membentangkan Memorandum Kabinet bagi mengharamkan e-rokok dan vape di seluruh negara.
“Larangan menyeluruh akan memberi lebih kuasa kepada agensi penguatkuasaan termasuk Jabatan Kesihatan untuk bertindak terhadap penjualan vape,” ujarnya.
Pada 23 Ogos lalu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata Memorandum Kabinet itu akan dibentangkan selewat-lewatnya hujung 2025.
Menurutnya, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Jemaah Menteri telah meminta cadangan tersebut dikemukakan segera.
“Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, ini bukan persoalan ‘jika’, tetapi ‘bila’. Saya bertanggungjawab memastikan arahan ini dipenuhi, cuma kaedah, masa dan pendekatannya perlu diperhalusi,” kata Dr Dzulkefly.
Akhbar The Straits Times (ST) melaporkan lebih 15,000 unit e-rokok dan komponen berkaitan dirampas di lintasan darat Singapura sepanjang Jun dan Julai lalu.
Ini termasuk dua cubaan penyeludupan di Pusat Pemeriksaan Woodlands pada 27 Jun dan 8 Julai, yang membawa kepada penemuan lebih 7,400 produk vape.
Di Johor, Kastam menahan sebuah lori di Kompleks Sultan Abu Bakar, Gelang Patah, pada 6 Ogos.
Pemeriksaan menemui 256 kotak pod cecair vape disorokkan di belakang tempat duduk pemandu. Sebanyak 7,680 pod bernilai RM46,080 ($14,051) dirampas.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg