KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) mendedahkan 230 murid sekolah rendah dikesan mempunyai masalah merokok dengan 193 daripadanya sudah menjalani program campur tangan berhenti merokok sepanjang 2024.
Selain itu, seramai 44,211 pelajar sekolah menengah pula dikesan mempunyai masalah sama dan 36,870 daripada angka itu sudah menjalani program campur tangan berhenti merokok bagi tempoh sama.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata angka itu berdasarkan perangkaan Program Kesihatan Oral Tanpa Amalan Merokok (Kotak) yang dilaksanakan sebagai pencegahan berhenti merokok dalam kalangan pelajar sekolah.
Selain itu, KKM turut merekodkan lima laporan kematian berkemungkinan berkaitan penggunaan rokok elektronik atau ‘vape’ antara 2019 dengan Jun 2025.
Bagaimanapun, menurutnya hubungan langsung antara penggunaan ‘vape’ dengan punca kematian sukar disahkan biarpun terdapat kes kematian membabitkan individu menggunakan alat berkenaan.
Beliau, yang juga Ahli Parlimen (AP) Kuala Selangor, berkata ini memandangkan keterbatasan bukti klinikal yang menyertakan faktor lain turut menyumbang kepada kematian terbabit.
“KKM juga menerima 83 laporan kes penyakit yang dikaitkan dengan penggunaan produk merokok, termasuk rokok elektronik sehingga Jun 2025.
“Sebanyak 44 kes daripada jumlah berkenaan membabitkan komplikasi serius yang memberi kesan kepada paru-paru.
“Selain itu, 39 kes lagi membabitkan komplikasi kesihatan lain yang tidak melibatkan paru-paru secara langsung,” katanya dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen.
Beliau menjawab soalan AP, Encik Wan Razali Wan Nor (Kuantan), mengenai jumlah kematian berkaitan kegiatan menghisap rokok elektronik serta usaha KKM membendung pembabitan remaja dan kanak-kanak daripada terjebak daripada menghisap alat berkenaan.
Dr Dzulkefly berkata KKM kini giat memperkukuh sistem pemantauan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian dikaitkan dengan produk merokok.
“Usaha ini selari pelaksanaan Seksyen 21 Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang memberi kuasa kepada menteri melarang atau menyekat pengimportan, pengilangan, pengedaran atau penjualan produk merokok berdasarkan syor jawatankuasa ditubuhkan di bawah seksyen berkenaan,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Sementara itu, Dr Dzulkefly berkata penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) serta Peraturan dan Perintah di bawahnya dibuat bagi melindungi golongan kanak-kanak dan remaja daripada terdedah serta terpengaruh tabiat merokok.
Beliau berkata KKM juga bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi dalam pengukuhan pekeliling serta siaran melarang murid sekolah membawa barang terlarang seperti ‘vape’.
Selain itu, program campur tangan berhenti merokok dalam kalangan pelajar sekolah turut dijalankan membabitkan 12,570 guru kaunseling dan guru Program Pendidikan Pencegahan Dadah menerusi latihan KKM.
“Perkhidmatan Klinik Berhenti Merokok (KBM) dan ‘One Stop Centre for Addiction’ (OSCA), turut disediakan di 857 (KBM) serta 111 (OSCA) di seluruh negara.
“Ibu bapa atau penjaga boleh membawa anak terbabit amalan merokok mahupun penggunaan rokok elektronik atau ‘vape’ ke klinik ini bagi mendapatkan khidmat rawatan dan sokongan berhenti merokok secara profesional,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg