Topic followed successfully
Go to BHkuHamzah serah surat kosong jawatan Ketua Pembangkang
Hamzah serah surat kosong jawatan Ketua Pembangkang
Calon pengganti sudah ada, ditentukan sebelum sidang Jun
Hamzah serah surat kosong jawatan Ketua Pembangkang
KOTA BHARU (Kelantan): Ketua Cemeti Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, akan menyerahkan surat pemakluman kekosongan jawatan Ketua Pembangkang kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dalam masa terdekat.
Datuk Takiyuddin berkata urusan penyerahan surat itu tidak perlu tergesa-gesa asalkan surat peletakan jawatan Ketua Pembangkang sekarang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, sudah diketahui umum.
“Kita telah terima surat Datuk Hamzah pada 11 April. Beliau mengosongkan jawatan Ketua Pembangkang dengan alasan nak melihat suasana yang baik dan mungkin tindakannya itu boleh memudahkan proses dalam PN itu sendiri.
“Sebagai Ketua Cemeti, saya yang kena hantar (surat pemakluman kekosongan jawatan Ketua Pembangkang). Kita tak tergesa-gesa, yang penting surat Datuk Hamzah itu orang sudah tahu.
“Jadi, secara rasmi, saya kena maklumkan kepada Speaker, dalam minggu ini,” katanya yang ditemui media pada majlis sambutan Aidilfitri Parlimen Kota Bharu dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bunut Payong di Kota Bharu, Kelantan, pada malam 12 April, lapor Berita Harian Malaysia.
Media Malaysia sebelum ini melaporkan Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, mengesahkan Datuk Hamzah, yang juga Ahli Parlimen (AP) Larut, bukan lagi Ketua Pembangkang selepas beliau menghantar surat peletakan jawatan berkenaan, pada 11 April.
Menteri Besar Terengganu itu turut memberitahu, pihaknya sudah mengarahkan Datuk Takiyuddin selaku Setiausaha Agung PN untuk menghantar surat pemakluman kekosongan jawatan itu kepada Tan Sri Johari.
Berhubung pengganti yang akan mengisi kekosongan jawatan itu nanti, Datuk Takiyuddin berkata calon sudah ada, namun belum lagi ditentukan dan akan diputuskan sebelum sidang Dewan Rakyat pada Jun ini.
“Lambat lagi, kita ada masa yang panjang dan kriteria (calon) bergantung kepada yang pertama adalah parti, kalau dari PAS (Parti Islam SeMalaysia), PAS kekalkan calonnya.
“Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang juga sebut pandangan semua AP juga diambil kira dan kita sekarang ini ada 43 AP dari PAS, 19 dari Bersatu.
“Kita ambil (pandangan) secara umum pandangan AP, siapa yang patut jadi sebab Ketua Pembangkang adalah jawatan penting, maka pemilihannya amat hati-hati,” ujarnya.
Dalam perkembangan mengenai spekulasi Datuk Hamzah bakal menyertai PAS selepas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu dipecat daripada parti pada 13 Februari lalu, Datuk Takiyuddin, berkata PAS belum menerima sebarang permohonan daripada AP Larut (Perak) itu sebagaimana didakwa.
Datuk Takiyuddin berkata keahlian PAS adalah terbuka, namun sesiapa yang ingin menyertainya perlulah membuat permohonan.
Datuk Hamzah, sebelum ini, memaklumkan beliau masih belum pasti untuk menyertai PAS sambil menyifatkan desas-desus adalah bukan sesuatu yang pasti dalam politik, sekali gus enggan mengulas lanjut.

