Dilema Ketua Pembangkang Perikatan Nasional
Perikatan Nasional (PN) kini tertekan mengenai siapa yang akan memegang jawatan ketua pembangkang. Walaupun akhirnya diputuskan Parti Islam SeMalaysia (PAS) akan menerajui gabungan itu, kemampuan PN untuk dilihat sebagai alternatif yang berdaya saing kepada kerajaan pemerintah masih diragui.
Gabungan pembangkang Malaysia, Perikatan Nasional (PN), telah melantik Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, yang mesra dikenali sebagai Dr Sam, sebagai pengerusi barunya susulan peletakan jawatan mengejut oleh penyandang sebelum ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Namun begitu, PN yang sebahagian besarnya terdiri daripada PAS dan parti nasionalis Melayu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), belum menamakannya sebagai ketua pembangkang di Parlimen.
Gabungan itu akhirnya memutuskan calon tersebut akan datang daripada PAS, tetapi kelewatan menamakan individu tersebut dan menyatakan sokongan padu terhadapnya menimbulkan persoalan sama ada PN benar-benar bersedia menjadi kerajaan alternatif.
Lazimnya, ketua pembangkang mesti datang daripada kalangan gabungan pembangkang itu sendiri. Namun, gabungan tersebut dilihat agak tidak sepadu.
Pada 22 Februari, Dr Sam, yang merupakan Ahli Parlimen (AP) PAS bagi Kemaman, dilantik sebagai Pengerusi PN tetapi tidak dinamakan sebagai Ketua Pembangkang.
Dalam sidang Parlimen terbaharu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin masih memegang jawatan Ketua Pembangkang. Beliau merupakan Timbalan Presiden Bersatu sehingga dipecat daripada parti itu.
Datuk Hamzah terus duduk berhadapan secara langsung dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di dalam Dewan.
Datuk Hamzah, yang kini bukan lagi ahli PN, dianggap oleh sebahagian pihak dalam kalangan pembangkang sebagai ahli strategi paling berkemampuan.
Krisis dalam Bersatu sebenarnya telah berlarutan sejak setahun lalu.
Pertembungan terbuka bermula semasa Perhimpunan Bersatu pada 2025, dengan khabar angin Datuk Hamzah cuba menggulingkan Tan Sri Muhyiddin, yang ketika itu merupakan Pengerusi PN.
Akhirnya, kedua-dua kem berdamai dan Datuk Hamzah berikrar setia kepada Tan Sri Muhyiddin. Beberapa AP Bersatu kemudian disingkirkan atau digantung kerana melanggar disiplin parti.
Antara yang terjejas ialah Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Encik Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Titik pertembungan berlaku di Perlis pada penghujung 2025 apabila timbul spekulasi Bersatu telah merancang menjatuhkan Menteri Besar PAS – dakwaan yang dinafikan oleh Tan Sri Muhyiddin.
Namun, ramai tetap menyalahkannya kerana gagal menegakkan disiplin parti dengan mengawal ahli parti yang memberontak.
Tan Sri Muhyiddin kekal sebagai Presiden Bersatu, manakala Datuk Hamzah dan penyokongnya disingkirkan daripada parti.
Pada akhir Februari, 13 daripada 25 AP Bersatu (tidak termasuk enam AP yang sebelum ini mengisytiharkan sokongan kepada Datuk Anwar) menyatakan sokongan kepada Datuk Hamzah untuk kekal sebagai Ketua Pembangkang.
Terdapat juga spekulasi bahawa Datuk Hamzah dan sekutu Bersatu yang pernah bersamanya mungkin akan mengambil alih Parti Keluarga Malaysia, sebuah parti politik yang kurang dikenali.
Berikutan masalah yang melanda Bersatu, PAS – dengan 43 AP – memutuskan untuk mengambil alih kepimpinan gabungan melalui pelantikan Dr Sam.
Namun begitu, keengganan PN untuk segera menamakan Dr Sam sebagai Ketua Pembangkang menimbulkan persoalan sama ada beliau mampu mencabar Datuk Anwar atau mengekalkan kesatuan dalam gabungan PN.
Tan Sri Muhyiddin juga secara terbuka mengkritik PN kerana bersikap tidak tegas.
Beliau menyindir Datuk Hamzah kerana tidak berasa malu untuk terus memegang peranan itu walaupun tidak lagi mempunyai kedudukan sah untuk berbuat demikian.
Pada 14 Mac, tiga minggu selepas Dr Sam dinamakan sebagai pengerusi, PN akhirnya memutuskan Ketua Pembangkang akan datang daripada PAS. Ini bermakna individu tersebut akan menggantikan Datuk Hamzah.
Namun, Majlis Tertinggi PN tidak menamakan secara khusus siapa Ketua Pembangkang baharu itu. Majlis itu hanya menyatakan pengumuman akan dibuat sebelum akhir Mac.
Kelewatan melantik Dr Sam sebagai Ketua Pembangkang menimbulkan keraguan terhadap ketegasan gabungan tersebut.
PN mungkin menimbang kelebihan untuk tidak terus mengekalkan Datuk Hamzah, walaupun beliau pernah memegang portfolio sebagai Menteri Ehwal Luar dan Perdagangan Dalam Negeri, serta beberapa portfolio sebagai Timbalan Menteri.
Beliau juga terbukti seorang pendebat yang baik, setanding dengan Datuk Anwar.
Kejayaan terbaharunya ialah menghalang usaha kerajaan dalam mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri yang sedang berkhidmat kepada dua penggal.
Namun begitu, rekodnya yang sering berpindah parti tidak memberi gambaran baik tentang ketekalan atau kemampuannya bekerjasama dengan pihak lain.
Beliau pernah berpindah dari Umno ke Bersatu dan kini dilihat hampir menyertai parti lain.
Terdapat laporan Datuk Hamzah pernah bertemu secara rahsia dengan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di Bangkok, walaupun beliau kemudian menegaskan beliau tidak berniat untuk kembali ke Umno .
Keadaan itu menjadikan persaingan untuk jawatan Ketua Pembangkang terbuka.
Dua calon utama daripada PAS ialah Dr Sam atau Datuk Seri Takiyuddin Hassan, yang dinaikkan pangkat sebagai Setiausaha Agung PN dalam mesyuarat pada 14 Mac.
Kekuatan Dr Sam terletak pada pendekatannya yang tidak konfrontasi, yang menyukarkan AP kerajaan untuk menyerang peribadinya.
Beliau, yang merupakan bekas Setiausaha Politik kepada Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, dilihat sebagai teknokrat yang lebih sederhana, bukan ulama konservatif, dan ini menjadikannya lebih mudah diterima oleh masyarakat bukan Melayu – satu segmen yang sukar dijangkau oleh PN.
Namun, Dr Sam kurang pengalaman dalam politik peringkat persekutuan.
Tempohnya sebagai AP hanya bermula pada Disember 2023 selepas memenangi pilihan raya kecil, dan beliau belum pernah memegang jawatan dalam Kabinet.
Walaupun Dr Sam juga merupakan Menteri Besar Terengganu dan telah membawa PAS memenangi kesemua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu, beliau masih belum dianggap bersedia untuk memegang jawatan tertinggi negara.
Datuk Takiyuddin juga merupakan pesaing utama.
Tidak seperti Dr Sam, beliau mempunyai pengalaman dalam Kabinet sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) serta Menteri Tenaga dan Sumber Asli.
Beliau telah menjadi AP sejak 2013 dan aktif dalam menjalankan tugasnya. Beliau juga dilihat sebagai antara yang paling lantang di bangku pembangkang selepas Datuk Hamzah.
Melantik Dr Sam atau Datuk Takiyuddin sebagai Ketua Pembangkang PN boleh dianggap sebagai pembaharuan dalam landskap politik yang selama ini dikuasai oleh tokoh yang telah terlibat dalam politik sejak tahun 1980-an.
Kedua-dua calon memenuhi syarat PN sebagai calon Perdana Menteri bagi Pilihan Raya Umum akan datang yang dijangka berlangsung pada Februari 2028.
Mereka juga dianggap sebagai golongan “sederhana” dalam PAS. Ini penting memandangkan PAS masih bergelut untuk meluaskan sokongan di luar asas konservatif Melayu.
Selain itu, mereka juga dilihat sebagai calon terbaik untuk menghalang puak yang tidak berpuas hati dalam PN daripada mencari pilihan baharu atau menghidupkan semula pakatan alternatif seperti Muafakat Nasional (antara Umno dan PAS), atau mempercepatkan pengukuhan Ikatan Prihatin Rakyat (IPR), iaitu gabungan yang menyatukan semua parti pembangkang termasuk yang tidak berada di Parlimen.
Alternatif-alternatif itu mungkin menandakan berakhirnya projek PN, walaupun gabungan tersebut pernah mentadbir negara dan berperanan sebagai pembangkang sejak Pilihan Raya Umum lalu.
Menyatukan barisan dengan menamakan Ketua Pembangkang akan memberikan hujah yang lebih kukuh bahawa PN mampu menggantikan kerajaan perpaduan.
Penulis ialah adalah Zamil Kanan dan Penyelaras di Program Pengajian Sosial dan Budaya Serantau,Institut Pengajian Asia Tenggara (Iseas)-Institut Yusof Ishak.

