TANAH MERAH: Pengasas Gerakan RESET, Datuk Seri Hamzah Zainudin, mengumumkan penubuhan Parti Wawasan Negara.

Beliau berkata parti berkenaan akan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan pertama pada minggu depan.

Katanya, nama parti berkenaan diberikan oleh Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

“Ramai orang tanya mana parti Gerakan RESET. Hari ini saya nak maklumkan parti ini diberi nama oleh Presiden PAS iaitu Parti Wawasan Negara.

“Parti kami baru dilahirkan dan tidak dijaga oleh ayahanda (Tan Sri Abdu Hadi Awang). Kami mahu bersama dengan PAS, GERAKAN dan rakan-rakan.

“Insya-Allah kita akan bersama-sama bekerjasama membentuk kesefahaman dan kerjasama politik yang lebih komprehensif demi agenda masa depan rakyat dan negara,” katanya yang berucap semasa Konvensyen RESET yang dirasmikan Tan Sri Abdul Hadi Awang pada 13 Jun.

Turut hadir ialah Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Samsuri Mokhtar dan Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau dan Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Konvensyen RESET yang buat kali pertama diadakan itu dihadiri kira-kira 20,000 penyokong parti.

Mengulas lanjut, Datuk Seri Hamzah yang juga Anggota Parlimen (AP) Larut berkata, beliau cukup terharu dengan kehadiran penyokong serta pimpinan PAS dan Gerakan pada konvensyen tersebut.

“Kita berkumpul dalam satu majlis yang saya tidak sangka dan tidak pernah impi apabila hari ini berdepan dengan pimpinan dan penyokong PN yang menyebabkan saya sangat terharu.

“Apabila kita dibuang dan terbuang, kita mengharapkan rakan-rakan untuk mengangkat, mengutip dan meneruskan perjuangan kita.

“Hari ini saya lihat dan nampak sebagaimana yang saya idamkan apabila keluarga dan rakan serta sahabat saya iaitu tidak lain tidak bukan adalah pimpinan PAS bersama saya serta pimpinan Gerakan,” katanya.

Dalam pada itu, Datuk Seri Dr Samsuri berkata Parti Wawasan Negara yang baru diumumkan itu akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan, dengan menggunakan logo PN.

Tan Sri Abdul Hadi Awang pula menegaskan kerjasama PAS dengan Parti Wawasan Negara bukanlah satu jajaran baru, sebaliknya memperkemaskan apa yang sudah sedia ada.

Presiden PAS itu berkata parti berkenaan menyokong dan menerima Parti Wawasan Negara untuk menyertai PN.

Beliau turut berkata bahawa mana-mana parti yang memohon untuk menyertai PN termasuk Parti Wawasan Negara akan dibawa perbincangan dalam mesyuarat.

“Mengikut Perlembagaan, ia memerlukan persetujuan majoriti parti dalam PN. Prosesnya, mereka membuat permohonan dan kita akan bawa ke dalam mesyuarat.

“Terpulang kepada parti yang satu lagi itu (Bersatu) sama ada dia mahu kekal atau keluar dari PN,” katanya. – Agensi berita.