Hanya guru besar atau guru yang diberikan kuasa, dibenar untuk melaksanakan hukuman rotan terhadap murid sekolah di Malaysia yang melakukan kesalahan berat seperti buli.
Walaupun kebenaran merotan diberi kepada guru besar dan guru yang diberi kuasa, mereka masih tertakluk kepada garis panduan ketat termasuk peraturan bahawa hukuman itu tidak boleh dijalankan di khalayak ramai atau tapak perhimpunan sekolah, selain tidak boleh dikenakan ke atas murid perempuan.
Menteri Pendidikan Malaysia, Cik Fadhlina Sidek, menjelaskan perkara itu tertakluk dalam Peraturan-peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959.
Jelas beliau, peruntukan perundangan sedia ada tidak memberi kuasa kepada ibu bapa atau orang awam untuk mengambil tindakan fizikal terhadap murid yang melakukan kesalahan, termasuk rotan.
“Hukuman rotan adalah antara bentuk hukuman yang boleh dikenakan terhadap murid yang melakukan kesalahan berat, termasuk kesalahan buli.
“Namun hukuman ini tidak bertujuan mendera, sebaliknya bertindak sebagai kaedah pendidikan yang bersifat membimbing dan mendisiplinkan murid supaya mereka dapat memahami implikasi perbuatan mereka.
“Hukuman rotan hanya boleh dilaksanakan mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh pihak yang diberi kuasa,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada 5 Februari.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen (AP) daripada Perikatan Nasional (PN), Dr Abd Ghani Ahmad (Jerlun, Kedah), sama ada kementerian bersedia membenarkan waris pelajar yang dibuli merotan pembuli dalam kalangan pelajar pada perhimpunan pagi di sekolah.
Cik Fadhlina berkata Kementerian Pendidikan (KPM) turut menegaskan pendekatan pendidikan yang bersifat membina, seperti bimbingan kaunseling dan pengukuhan nilai murni sebagai langkah yang lebih berkesan dalam membentuk peribadi murid yang berakhlak dan berintegriti.
“KPM berpandangan pendekatan lebih berkesan dalam menangani sebarang isu disiplin membabitkan murid adalah dengan memperkukuh komunikasi antara pihak sekolah dan ibu bapa.
“KPM sentiasa berusaha memastikan pelaksanaan disiplin di sekolah sejajar dengan dasar pendidikan yang menitikberatkan pembentukan akhlak dan integriti.
“Semua pihak diseru untuk bersama-sama memainkan peranan dalam memastikan persekitaran sekolah yang selamat, kondusif dan harmoni bagi melahirkan generasi yang berdisiplin dan bertanggungjawab,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg